Isteri Achey usaha jadi ibu susuan kepada anak angkat dua bulan - Hiburan | mStar

Isteri Achey usaha jadi ibu susuan kepada anak angkat dua bulan

Achey dan isteri dan anak mereka.

PELAWAK dan penyanyi Achey memberitahu isterinya iaitu Nor Hasanah Yahaya sedang dalam proses menjadi ibu susuan kepada anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah Nasir yang kini hampir berusia dua bulan.

Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 32, berkata, mereka bersepakat melakukan proses itu dalam menjadikan Nur Tiara sebagai mahram selain untuk mengelakkan isu lain pada masa akan datang.

“Alhamdulillah selepas mendapat pandangan daripada keluarga dan ahli agama kami sepakat untuk jadikan dia anak susuan agar tak timbul soal mahram apabila dia dewasa kelak.

“Sekarang masih dalam proses dan Alhamdulillah Allah pun permudahkan proses itu untuk isteri saya,” katanya kepada mStar Online.

Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya mengambil Nur Tiara sebagai anak angkat pada 6 Ramadan lalu.

Nur Tiara dilahirkan pada 15 Mei lalu pada pukul 8.05 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam pada itu, Achey berkata, Nur Tiara juga sudah sah menjadi anak angkat mereka dari segi undang-undang selepas membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM).

Kata Achey lagi, walaupun prosesnya sedikit rumit namun dia lega dapat menyelesaikan perkara itu demi masa depan anak mereka.

“Memandangkan kami tidak pernah berdaftar dengan JKM untuk proses ambil anak angkat... Ambil dulu baru daftar, jadi prosesnya banyak sikit.

“Tetapi tidak mengapa, baik saya selesaikan sekarang pendaftaran sijil kelahirannya dan perakuan Nur Tiara sebagai anak angkat agar tiada masalah berbangkit di kemudian hari,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Hasanah pula berkata, walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman sebagai ibu-bapa namun kehadiran Nur Tiara banyak mengajar mereka.

Malah Nur Hasanah turut memuji Achey yang disifatkan sebagai ringan tulang bagi menguruskan anak mereka.

“Kalau Tiara terjaga malam, Achey yang bangun tukar lampin, buat susu... Alhamdulillah dia sangat membantu.

“Dari situ juga kami sama-sama dapat belajar kerana tidak pernah ada pengalaman tetapi semuanya dipermudahkan dan ramai membantu dalam memberi tip keibu-bapaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Achey bakal berentap dalam program Super Spontan Xtravaganza yang akan bermula pada 20 Julai ini, setiap Jumaat 10 malam di Astro Warna.

Selain itu, Achey juga sedang dalam proses rakaman single terbaharu yang diciptanya sendiri untuk Nur Tiara berjudul Anak.

Achey

Artikel Sebelum

Zara Zya jadi sasaran kerana maskot

Artikel Berikut

Kecoh Achey vokalis baharu Kristal

Artikel Berkaitan

Artikel Lain