Tun M menang satu sejarah kata Siti Nurhaliza - Hiburan | mStar

Tun M menang satu sejarah kata Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan butik Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza melihat kemenangan gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) satu sejarah dunia.

Siti, 39, berkata dia mengagumi perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah bersara dan kembali menjadi pemimpin negara pada usianya 93 tahun.

“PRU14 kali ini menjadi satu sejarah. Bagi saya, ia sejarah dunia dan luar biasa. Seorang legenda politik negera kembali mentakbir.

“Seorang perdana menteri berusia 93 tahun yang pernah memimpin negara suatu ketika dahulu, kemudian bersara dan kini diangkat sekali lagi,” kata Siti kepada mStar Online. 


Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memotong reben simbolik pelancaran butik.

Siti ditemui pada majlis pertunjukan fesyen dan pelancaran butik Creacion & SimplySiti di Melawati Mall pada petang Ahad.

Ia juga adalah kemunculan pertama penyanyi itu selepas melahirkan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Bercakap mengenai Creacion & SimplySiti, Siti berkata, beliau memilih Melawati Mall sebagai lokasi untuk membuka butik cawangan kelapan kerana lokasi berkenaan kebanyakannya adalah penduduk berbangsa Melayu.

Antara koleksi pakaian terbaharu Creacion by Siti Nurhaliza sempena Aidilfitri.

Malah kata Siti, beliau tertarik dengan keterbukaan pihak pengurusan pusat beli-belah itu yang mengutamakan peniaga tempatan untuk berniaga di Melawati Mall.

“Melawati Mall adalah satu tempat yang strategik dan masih baharu. Kebanyakkan penduduk di sini juga adalah Melayu.

“Malah pihak pengurusan juga memberi peluang kepada peniaga tempatan seperti saya untuk membuka butik di situ dan memberi keistimewaan juga kepada kami,” katanya.

Bersempena dengan pelancaran butik baharu itu, Siti turut melancarkan koleksi baju raya yang dijual pada harga serendah RM219 di semua cawangan butik Creacion & SimplySiti.

Siti Nurhaliza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain