suria

Meriahkan siaran luar Suria di Mydin USJ

Temui penyampai Suria di Mydin USJ, esok.

PETALING JAYA: Stesen radio Suria memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan secara langsung bagaimana penyampai radio mereka keudara menerusi siaran luar segmen Suria Petang dan Suria Cinta.

Siaran luar itu akan diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya, bermula pukul 5 petang pada Jumaat.

Menurut Pengurus Program Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, siaran luar itu turut melibatkan artis jemputan seperti Aiman Tino, Liza Hanim, Nora Ariffin, Naim Daniel dan Fara Hazel.

"Selain penonton dapat menyaksikan sendiri bagaimana penyampai bertugas, mereka juga boleh menulis ucapan yang akan dibacakan secara langsung di situ," ujarnya kepada mStar Online.

Malah, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dan merakam foto kenangan bersama penyampai-penyampai Suria dan artis yang hadir ke acara itu.

Siaran luar ini bakal dihoskan oleh Bob Ringgo dan Feeya Iskandar dan akan dimulakan dengan segmen Suria Petang sebelum diteruskan dengan segmen Suria Cinta.

Segmen Suria Petang akan dikendalikan oleh Tyzo dan Suraya manakala segmen Suria Cinta pula akan dikemudi oleh DJ Lin.

Sebelum ini, Suria pernah menganjurkan siaran luar pada Hari Radio Sedunia yang lepas bersama penyampai-penyampai Suria Pagi di Petronas NKVE.

Tambah DJ Lin lagi, peminat yang hadir ke program siaran luar ini pastinya dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan dan memberi memori menarik buat mereka. 

Suria, DJ Lin

Artikel Lain