suria

Ketumbuhan Pada Peti Suara Bob

Bob memerlukan latihan vokal yang lebih kerap bagi memulihkan semula peti suaranya yang terjejas.

DI SEBALIK pujian diberikan juri kepada peserta AF Megastar iaitu Bob, mungkin ada yang tidak mengetahui kesihatannya tidak begitu baik sejak Disember tahun lalu.

Bob atau nama sebenar Yusrizan Usop berkata, dia mengalami penyakit Nodule iaitu sejenis ketumbuhan kecil di kawasan peti simpanan suara yang boleh menyebabkan gangguan suaranya.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, persembahan Bob menerusi lagu Bukan Cinta Biasa diterjemahkan dengan begitu baik ketika Konsert AF Megastar Homecoming yang berlangsung di Royal Theater Shah Alam pada malam Ahad lalu.

"Mulanya terkejut apabila doktor maklumkan ia penyakit berkaitan peti suara dan terpaksa menjalani rawatan sehingga Jun lalu.

"Saya hanya makan ubat hospital dan mujurlah doktor memberitahu tidak perlu menjalani pembedahan kerana ia masih boleh dikawal.

Persembahan bertenaga Bob mendapat pujian juri dan penonton.

"Sepanjang proses rawatan saya terpaksa mengurangkan undangan nyanyian bagi memastikan ia benar-benar pulih," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Bob berkata, walaupun keadaannya semakin baik namun dia masih perlu rawatan lanjut daripada pakar bagi memastikan dia benar-benar pulih.

"Sekarang ini saya boleh katakan sudah sembuh 90 peratus, tapi kadang-kadang sakit itu datang lagi.

"Saya masih bertemu dengan pakar untuk rawatan susulan dan memerlukan latihan suara yang lebih kerap selepas ini," katanya.

Mengulas mengenai persembahannya pada malam tersebut, Bob memaklumkan lagu tersebut ditentukan oleh pihak produksi bersesuaian dengan tema yang diberikan.

"Kami menyenaraikan beberapa buah lagu dan pihak produksi yang menentukan lagu yang bersesuaian dinyanyikan oleh peserta.

"Sebagai penyanyi, saya tidak kisah apa juga genre lagu diberikan dan akan cuba menyampaikan seikhlas hati.

"Jika terpilih menjadi 12 peserta AF Megastar, saya akan memperkemaskan lagi persembahan nyanyian dan menggunakan peluang ini sebaiknya," katanya.

Konsert AF Homecoming minggu hadapan akan menyaksikan 12 lagi penyanyi berentap iaitu Amylea, Shahir, Aril, Rosma, Anding dan Adira.

Selain Faizal, Indah, Syamel, Amir, Faizul dan Nubhan.

Keputusan 12 peserta yang terpilih ke konsert AF Megastar bakal diumumkan pada malam tersebut.

AF Megastar bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (135) pada setiap hari Ahad, 9 malam.

Bob Yusof, AF Megastar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aliff Syukri Mohon Senjata Api

Artikel Lain