suria

Adam Corrie Pernah Ditegur Berbaju Melayu

Adam Corrie.

PETALING JAYA: Aktor Adam Corrie mendedahkan dia pernah ditegur oleh beberapa pihak kerana mengayakan baju Melayu ketika beribadah dan menghadiri majlis-majlis agama.

Corrie, 49, berkata, ia terjadi ketika dia baharu memeluk agama Islam dan perkara itu membuatkannya mengambil keputusan untuk tidak memakai pakaian itu.

"Awal penghijrahan saya tercari-cari baju apa yang patut saya pakai untuk beribadah agar sopan dan selesa. Jadi saya pakai baju Melayu kerana saya lihat ramai yang berbaju Melayu ketika menunaikan solat.

"Namun, setiap kali saya pakai pasti ada orang tegur memberitahu supaya saya tidak perlu untuk saya pakai baju Melayu, saya sendiri berasa pelik dengan perkara itu. Tidak mahu terus ditegur, saya memilih untuk pakai jubah sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Adam buat solat istikharah sebelum terima tawaran jadi duta.

Bagaimanapun, pelakon yang sering membawakan watak antagonis ini tidak menjangka rezekinya datang apabila dipilih sebagai duta untuk pakaian baju Melayu Elle Zada 2017.

Perlantikan tersebut diumumkan dalam sebuah majlis pelancaran projek raya Elle Zada 2017 yang diadakan baru-baru ini bersama rakan selebriti lain iaitu Yatt Hamzah dan Heliza Helmi.

Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah memeluk Islam pada 13 Julai 2007 telah berkahwin dengan wanita Melayu iaitu Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008.

Dalam pada itu, ditanya tentang tawaran berkenaan, Corrie berkata, pada awalnya dia meminta pihak jenama pakaian itu mempertimbangkan pemilihan tersebut.

"Saya beritahu pihak Elle Zada tentang itu dan saya fikir mungkin orang tidak suka saya memakai baju Melayu kerana saya mualaf. Saya tidak mahu pengambilan saya akan menjejaskan perniagaan mereka.

"Saya juga ada buat solat istikharah beberapa kali sama ada ingin terima atau tidak tawaran tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, tambah Corrie, pihak jenama pakaian itu tetap dengan tawaran mereka untuk menjadikan saya sebagai duta baju Melayu koleksi terbaharu.

Kata, Corrie, dia akhirnya menerima tawaran tersebut dengan hati terbuka dan berharap pakaian itu mendapat sambutan masyarakat sempana Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Adam Corrie

Artikel Lain