suria

Fara Fauzana & Dr Maza Juri Tetap ‘Pencetus Ummah’ Musim Keempat

Fara Fauzana (kiri) dan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai juri tetap Pencetus Ummah musim keempat. Foto IZZRAFIQ ALIAS.

KUALA LUMPUR: Personaliti radio, Fara Fauzana meletakkan dirinya sebagai penonton untuk menilai peserta selepas dilantik sebagai juri tetap program keagamaan, Pencetus Ummah musim keempat.

Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, berkata, dia tidak akan menyentuh tentang aspek keagamaan terlalu mendalam kerana itu bukan bidang kepakarannya tetapi akan lebih kepada aspek persembahan selain menjadi mata kepada penonton.

"Jujurnya saya sendiri dalam proses belajar tentang agama dengan lebih mendalam dan rasanya tidak sesuai untuk menilai orang lain.

"Tetapi saya sebagai juri tetap akan lebih fokus kepada persembahan dan sebagai penonton sama ada saya faham apa cuba disampaikan peserta. Saya letak diri sebagai penonton dan sebagai seorang yang masih mendalami ilmu agama," katanya kepada mStar Online.

Fara ditemui pada sidang media program berkenaan di sini, Rabu.

Bekas penyampai radio itu bakal bergandingan dengan pendakwah terkenal yang juga Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) di kerusi juri tetap.

Fara Fauzana.
Pencetus Ummah musim keempat bakal bersiaran bermula 27 Oktober ini, pukul 9 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Dalam pada itu, Fara tidak menafikan dia berasa bimbang apabila dihubungi pihak produksi yang mahukannya duduk di kerusi juri tetap.

Bagaimabapun kata Fara, selepas diterangkan dengan terperinci tentang peranannya dia terbuka dan teruja dengan tugas baharunya itu.

"Kehadiran saya itu nanti secara santai dan Insya-Allah ia dapat menarik lebih ramai penonton dalam menyebarkan dakwah Islam," katanya.

Sementara itu, Fara berkata, sebagai persediaan dia menonton kembali musim terdahulu program berkenaan bagi mendapat lebih pemahaman tentang cara juri-juri menyampaikan komen mereka.

"Saya memang mengikuti Pencetus Ummah jadi saya sudah tahu tentang konsep dan pengisiannya cuma perlu lebih pemahaman tentang juri terdahulu.

"Saya tonton kembali musim terdahulu tetapi bukan untuk meniru sesiapa kerana saya akan tampil dengan cara tersendiri," ujarnya.
Fara Fauzana, Pencetus Ummah

Artikel Lain