suria

Zain Saidin, Che Ta Sediakan 110 Pasang Baju Raya Tahun Ini

Zain Saidin dan isterinya, Che Ta. FOTO dari Instagram Che Ta.

KUALA LUMPUR: Pelakon Zain Saidin berkata, dia sudah mempersiapkan pakaian Hari Raya pada tahun ini sebanyak 110 pasang untuk mereka tiga beranak.

Zain, 32, memberitahu, pakaian untuk dia dan isteri iaitu Rozita Che Wan setiap seorang ialah 30 pasang manakala anak mereka Aaisyah Dhia Rana pula sebanyak 50 pasang.

"Kalau Che Ta 30 pasang, saya pun samalah. Cukup la untuk sebulan raya," katanya kepada mStar Online.

Pada tahun lalu tiga beranak ini masing-masing mempunyai 20 pasang pakaian raya.

Keluarga bahagia ini ketika mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini. Foto Ihsan Instagram Che Ta
Tambah Zain, isterinya lebih teruja untuk mempersiapkan pakaian raya untuk anak mereka yang kini berusia dua tahun dan jumlahnya mungkin lebih daripada 50 pasang.

"Untuk anak biasalah Che Ta akan lebih teruja. Mungkin melebihi 50 pasang la kot! Kita tengok nanti,” kata Zain.

Menurut Zain, pakaian Hari Rayanya pada tahun ini adalah daripada koleksi sendiri iaitu Ketak by ZainSaidin.

Mengenai sambutan Syawal tahun ini pula Zain berkata, mereka akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman Che Ta di Kedah pada Hari Raya kedua.

Dalam perkembangan lain Zain kini sibuk dengan koleksi jenama kasutnya sendiri iaitu ZapatoS yang diperkenalkan sejak Ogos lalu.

Katanya jenama kasut mampu itu adalah hasil kombinasi jenama LV dan idenya sendiri yang dijual antara RM150 sehingga RM250.

Setakat ini katanya 3,000 koleksi dihasilkan dan sebanyak 80 peratus sudah dijual.

Bagaimanapun kata Zain dia sedikit bimbang jika kehabisan stok selepas berhasrat menjualnya sempena KL Raya Fest yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 26 Jun ini.
Zain Saidin, Che Ta, Rozita Che Wan

Artikel Lain