suria

Mila Jirin Nikah Pengurus Sendiri Dengan Sekali Lafaz

Mila Jirin dan Ahmad Ailis selamat bernikah dengan sekali lafaz. FOTO: IZZRAFIQ ALIAS.
SUBANG JAYA: Penyanyi dan bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelima (AF 5) iaitu Mila Jirin selamat bergelar isteri kepada pengurusnya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha dengan sekali lafaz.

Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin, 28, dan Ahmad Ailis, 36, selamat diijabkabulkan kira-kira pukul 6.20 petang di Hotel E-City, One City di sini pada Rabu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh imam dan Penolong Pendaftar Pernikahan, Masjid Jamek Batu 12 Puchong, Ustaz Mohamed Zainal Khamis.

Mila diwalikan oleh bapanya iaitu Jirin Burhan.

Somoga Mila dan suaminya kekal bahagia... FOTO: IZZRAFIQ ALIAS

Ahmad Ailis turut menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM1,001 berserta wang hantaran RM23,128.70

Pihak pengantin lelaki memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

Mila dan Ahmad Ailis ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila mereka selamat disatukan.

"Selepas sekian lama kami menyulam cinta dengan pelbagai dugaan akhirnya kami selamat bersatu sebagai suami-isteri.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan hari ini merupakan hari paling bahagia," kata Mila.

Memilih konsep bunga warna lembut atau pastel floral bagi majlis akad nikah, pasangan tersebut menggunakan khidmat syarikat mereka sendiri iaitu Bizmilla Catering bagi dekorasi pelamin, dewan serta hidang makanan buat tetamu.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan pada  20 Disember depan di Hotel Tabung Haji, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dalam pada itu sebuah majlis makan malam bagi meraikan teman media dan rakan niaga pula akan diadakan pada 23 Januari 2016 di Hotel ECity, One City, di sini.

Mila Jirin

Artikel Sebelum

Artikel Lain