suria

Bapa Ragui Keikhlasan Zul Ariffin Pikat Zahira MacWilson

Zainol bersama anaknya Zahirah ketika menghadiri Anugerah Skrin 2015.
PETALING JAYA: Bapa kepada pelakon Zahirah MacWilson iaitu Zainol MacWilson berasa ragu terhadap keikhlasan Zul Ariffin untuk berkawan rapat dengan anaknya selepas aktor itu dikaitkan dengan gosip cinta tidak kesampaian sebelum ini.

Namun, Zainol, 56, yang juga seorang pelakon era 90-an berkata, sebagai bapa dia sentiasa memantau perkembangan hubungan tersebut dan meletakkan beberapa syarat kepada anaknya itu.

"Saya tidak halang dan tidak juga galakkan mereka bercinta kerana Zahirah masih muda dan baru dalam industri. Manakala Zul pula saya banyak dengar cerita negatif tentang dia termasuk hubungannya dengan Ayda Jebat dan Gayatri Su-Lin Pillai.

"Setakat ini saya tengok sahaja sejauh mana hubungan mereka, kalau boleh saya tidak mahu Zahirah jadi mangsa dan dipermainkan oleh lelaki," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Zainol diminta mengulas tentang hubungan anaknya iaitu Zahirah, 20, dengan pelakon Zul Ariffin, 29, yang mengumumkan kini bercinta selepas gambar mereka berpegangan tangan tersebar.

Dalam satu laman portal bekas kekasih Zul iaitu Gayatri juga telah membuka mulut hubungan mereka sudah lama putus namun enggan mendedahkan puncanya.

Zainol  (dari depan) bersama Zul Ariffin dan Zahirah di Anugerah Skrin 2015 pada 8 November lalu.

Zainol yang sudah lapan tahun menetap di Perth, Australia menjelaskan terpaksa pulang ke Malaysia bagi menguruskan kerjaya anaknya sebagai pelakon.

Tambahnya, sebagai seorang anak seni yang berpengalaman, dia berkali-kali menasihatkan anak sulungnya itu agar berhati-hati dan tidak melibatkan diri dengan mana-mana lelaki yang bekerja dalam dunia hiburan.

"Perkara pertama yang saya beri amaran ialah jangan terlibat dengan lelaki yang berada dalam industri, tidak kiralah pelakon, kru atau pengarah sekalipun kerana ia akan menjadi masalah kepada kerjaya.

"Tapi, apabila diberitahu oleh ibunya bahawa ada seorang pelakon lelaki cuba mendekatinya, saya terus mengambil keputusan untuk menjaga dia di sini dan ibunya pulang ke Perth menjaga tiga orang anak kami di sana," ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada dia sudah bertemu dengan aktor tersebut, Zainol berkata mereka sudah berjumpa sebanyak dua kali.

Katanya, pada pertemuan tersebut, dia ada meminta Zul menjelaskan status hubungannya dengan wanita-wanita yang dikaitkan sebelum ini.

Zainol berkata, dia turut tersinggung apabila orang ramai menuduh anaknya sebagai seorang perampas.

"Saya sudah jumpa dia (Zul) dua kali, ada saya bertanya kepada Zul apa kaitan dia dengan Ayda Jebat dan Gayatri seperti yang saya baca di internet. Maklumlah saya sudah tidak ikut perkembangan industri hiburan jadi saya tidak kenal artis baru.

"Zul jelaskan mereka hanya berkawan sahaja, mereka dikaitkan kerana pernah berlakon bersama. Secara jujurnya saya sedih dan tidak mahu orang tuduh anak saya perampas pula," ujarnya.

Selain itu, ditanya tentang perkembangan kerjayanya, pelakon dan bekas pembaca berita TV3 ini berkata, dia mengambil kesempatan berada di Malaysia untuk membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

Dia bakal memulakan penggambaran telefilem berjudul Hussain... Peninglah bersama pelakon Alif Satar tidak lama lagi.

"Alang-alang balik Malaysia ini saya ambil peluang lepas gian untuk berlakon, sebelum pulang Malaysia sudah ada tawaran dengan Zeel Production sebagai pelakon undangan dalam drama Che Pa untuk siaran Astro Ria.

"Selepas itu, ada pula tawaran daripada Orange Tree untuk drama Hussain... Peninglah untuk TV3 dan bakal mula penggambaran minggu ini," ujarnya.

Artikel Lain