suria

Malaysia Hos Anugerah Filem Antarabangsa Selatan India

Shriya Saran yang terkenal dalam filem India antara artis yang akan menyertai SIIMA di Kuala Lumpur pada September depan.
KUALA LUMPUR: Anugerah Filem Antarabangsa Selatan India (SIIMA) akan berlangsung pada September ini dan dijangka menjana pendapatan lebih RM25 juta dari segi perbelanjaan pelancong kepada negara,menurut penganjur. 

Malaysia Major Events (MME) berkata Malaysia akan menjadi hos acara berprestij itu buat kali pertama, dijadualkan dari 12 hingga 13 September depan di Stadium Negara. 

Pengurus Besar MME Tony Nagamaiah berkata lebih 100 bintang filem dari India akan hadir pada "acara permaidani merah" itu.

Ia akan dimeriahkan dengan persembahan beberapa bintang filem terkenal seperti Tamanna, Anirudh, Devi Sri Prasad, Shriya Saran, Shiv Rajkumar, Lakshmi Menon, Nivin Pauly, Regina dan Rakul Preet. 

Tony memberitahu sidang media bahawa acara itu dijangka dihadiri lebih 5,000 pelawat antarabangsa terutama dari India dan negara jiran memandangkan ia diadakan buat kali pertama di Asia Tenggara. 

"India dan Malaysia menjalin hubungan amat baik sejak beberapa dekad dan hakikatnya India merupakan satu daripada empat pasaran utama pelancong kita.

Memandangkan penempatan masyarakat keturunan India meliputi seluruh rantau Asia Tenggara dan kawasan lain, kami yakin peminat dari negara-negara jiran juga akan mengambil kesempatan ini untuk menimba pengalaman industri perfileman Selatan India. 

Tony berkata penganjuran SIIMA membuktikan Malaysia sebagai destinasi yang menjadi pilihan bagi acara bertaraf antarabangsa dan kesempatan untuk meningkatkan pendedahan global mengenai pengalaman unik yang Malaysia boleh tawarkan. 

Sejak dua tahun berturut-turut, SIIMA diadakan hanya di Timur Tengah.    

Tony juga berkata India merupakan satu daripada pasaran pelancongan utama Malaysia dengan lebih 650,000 pelancong India melawat Malaysia tahun lepas dan sasaran tahun ini ialah 700,000 orang. 

MME ialah cabang Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. 

Sementara itu, Pengerusi SIIMA, Vishnu Induri berkata pemilihan Malaysia sebagai lokasi menganjurkan acara itu adalah pilihan tepat. 

"Filem-filem dari India amat popular di sini, jadi Malaysia merupakan tempat yang tepat untuk kami menganjurkan SIIMA dan saya cukup gembira atas sokongan daripada kerajaan Malaysia terutama tahun 2014 ialah Tahun Melawat Malaysia," kata beliau. 

Sidang media pada Khamis juga dihadiri oleh beberapa bintang filem dari India antaranya Surya Sivakumar, Shriya Saran, Rana Daggubati dan Vidyut Jammwal. 

Dalam pada itu, bintang filem India berkenaan dan mereka yang hadir dalam sidang akhbar itu turut bertafakur selama satu minit sebagai memberi penghormatan kepada mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain