suria

Irma Hasmie Selesa Besarkan Anak Tanpa Pengasuh

Irma Hasmie (kanan) dan Udani Mohd Noor (tengah) menunjukkan produk Radioglo pada majlis pelantikannya sebagai duta produk itu di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Irma Hasmie (kanan) dan Udani Mohd Noor (tengah) menunjukkan produk Radioglo pada majlis pelantikannya sebagai duta produk itu di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Irma Hasmie (kanan) dan Udani Mohd Noor (tengah) menunjukkan produk Radioglo pada majlis pelantikannya sebagai duta produk itu di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie lebih selesa menjaga dan membesarkan anak lelakinya, Redza Syah Irfhan yang kini berusia lapan bulan tanpa bantuan pengasuh.

Irma, 31, berkata, dia bukan takut untuk menyerahkan anaknya untuk dijaga oleh orang lain tetapi lebih puas membesar dan melihat perkembangan zuriatnya di depan mata sendiri.

"Keluarga dan suami juga turut menggalakkan saya besarkan sendiri anak kami tanpa bantuan orang lain.

"Sekarang ini kalau saya berpisah sebentar dengannya, mulalah terasa rindu dan seakan-akan tidak percaya dia sudah berusia lapan bulan," katanya kepada mStar Online.

Irma ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Radiglow di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.

Hadir sama pengasas produk berkenaan Datin Seri Udani Mohd. Noor serta rakan-rakan artis seperti Alyah, Anuar Zain, Fazli Zainal, Ieda Moin dan Norish Karman.

Tambah Irma, suaminya, Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan, 32, juga membantunya menjaga anak mereka sekiranya dia mempunyai tugasan di luar.

"Saya bertuah kerana mendapat seorang suami yang rajin dan pandai menguruskan anak kami sekiranya saya mempunyai tugasan.

"Bagaimanapun sekiranya tidak membebankan, saya akan membawa anak ke majlis-majlis yang dihadiri kerana tidak sanggup meninggalkannya," kata Irma.

Dalam pada itu, Irma berkata, dia terkilan apabila terpaksa menolak banyak tawaran berlakon daripada pelbagai produksi kerana jangka masa penggambaran yang panjang.

Bagaimanapun dia akan menerima sesuatu tawaran sekiranya ia sesuai dengan jadualnya memandangkan dia perlu menjaga anaknya yang masih menyusu badan.

"Seperti baru-baru ini saya terpaksa menolak tawaran daripada Rashid Sibir untuk sebuah drama yang skripnya ditulis untuk saya dan saya terpaksa menjelaskan situasi kepada produksi dan menolak tawaran cara baik walaupun sedikit terkilan.

"Kebanyakan tawaran adalah drama berepisod dan ia memerlukan waktu yang panjang untuk penggambaran dan keutamaan saya kini adalah anak dan keluarga," jelasnya.

Pun begitu kata Irma, dia masih menggalas tugas sebagai pengacara program Assalamualaikum di TV Al- Hijrah yang disiarkan setiap hari Jumaat hingga Ahad.

"Program itu bersiaran pada waktu pagi dan mujur suami mengambil alih tugas saya sementara saya menyelesaikan tugas," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta produk Radiglow, dia telah menggunakan produk tersebut sebelum ini.

Jelasnya, produk kesihatan yang mampu melambatkan proses penuaan itu amat serasi dengannya sehingga memaksa dia bersedia berkongsi dengan peminat.

"Jika saya tidak menggunakan produk ini mungkin saya tidak berani untuk terima tawaran jadi duta.

"Ia adalah produk yang bagus dan sesuatu perkara baik tidak salah saya kongsi bersama orang lain," katanya.

Selain duta produk, Irma baharu sahaja melancarkan jenama pakaiannya sendiri iaitu Debumas secara dalam talian.

Artikel Lain