suria

'Si Dia' Belum Tahu Isi Hati Cinta Zizan

Zizan Razak
Zizan Razak
Zizan Razak

PETALING JAYA: Pelakon Zizan Razak mengakui wanita yang begitu rapat dengannya sehingga membuatkan dia terpaut hati sejak beberapa bulan lalu masih lagi tidak tahu tentang isi hati selama ini.

Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 29, berkata, dia masih lagi belum bersedia untuk meluahkan perasaan terhadap wanita yang enggan didedahkan identitinya itu.

"Itulah, sehingga sekarang wanita itu tidak tahu perasaan cinta saya kepadanya. Saya tidak bersedia lagi, tetapi saya tetap akan beritahunya kelak," katanya.

Pada April lalu, Zizan mendedahkan dia menyukai seorang wanita bukan daripada kalangan selebriti yang dikenalinya sejak lama dahulu.

Walaupun menjelaskan wanita tersebut bukan daripada kalangan selebriti, ramai yang membuat spekulasi mengaitkan Zizan dengan artis yang rapat dengannya seperti Emma Maembong dan Kaka Azraf.

Spekulasi itu sehingga kini masih menjadi teka teki dan Zizan sendiri berpendirian tidak mahu mendedahkan siapa wanita tersebut sehinggalah hubungan kedua-dua mereka lebih serius.

Ditanya adakah dia menyesal dengan tindakan meluahkan perasaannya tanpa pengetahuan si dia, Zizan berkata, wanita berkenaan tidak terasa apa-apa kerana apa yang dilakukannya sekadar ingin berkongsi kisah peribadinya kepada peminat.

"Saya tidak menyesal pun mendedahkan hal tersebut walaupun orang membuat pelbagai spekulasi siapakah wanita yang dimaksudkan itu.

"Apa yang saya nyatakan sekadar berkongsi sedikit hal peribadi kepada umum, bukannya cerita lebih mendalam pun. Bagi saya persoalan timbul kerana orang sayangkan saya dan mereka mahu tahu lebih tentang diri saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zizan bakal muncul dengan sebuah filem terbaharu, KL Zombie yang bakal ditayangkan di pawagam pada 29 Ogos ini.

"Saya tidak sabar menantikan reaksi peminat terhadap lakonan saya dalam filem ini. Berdebar juga rasa sebab peminat mahu melihat pelakon kesayangan mereka menjadi lebih baik berbanding filem yang dilakonkan sebelum ini.

"Bagaimanapun, watak saya sebagai Nipis, lebih kurang dengan personaliti diri saya, jadi ia sedikit sebanyak membuatkan saya lebih menghayati watak tersebut," tuturnya.

KL Zombie terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd mengisahkan lima sekawan yang mempunyai impian dan cita-cita hidup yang tersendiri. Namun segalanya menjadi huru-hara apabila sejenis wabak berbahaya yang menukar manusia menjadi zombie telah merebak ke Kuala Lumpur.

Selain Zizan, Siti Saleha, Zain Ruffedge dan Faezah Elai turut membintangi filem tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain