suria

Siti Sarah Tidak Mampu Lupakan Arwah Ibu

Shuib Sepah dan Siti Sarah
Shuib Sepah dan Siti Sarah
Shuib Sepah dan Siti Sarah

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin masih bersedih atas kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu.

Sarah, 30, berkata, air matanya sentiasa mengalir jika teringat atau bercakap tentang Allahyarham.

"Pemergian ibu saya pada Jun lalu sangat memberi kesan sehingga saat ini pun saya tidak boleh bercakap tentang dia kerana perasaan sedih akan muncul.

"Begitu juga dengan ayah, dia sangat tertekan sejak ibu meninggal dunia.Disebabkan itu saya kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor untuk temani ayah," katanya ketika kepada mStar Online.

Isteri kepada pelawak Shuib (Sepah) ini merancang untuk kembali ke pentas nyanyian bagi melupakan kesedihan tersebut.

"Insya-Allah saya akan kembali menyanyi, mungkin dengan cara itu dapat mengubat rasa sedih yang terlalu memikirkan pemergian ibu.

"Saya bersyukur mendapat suami yang memahami dan sentiasa menyokong apa juga tindakan saya. Arwah juga menggalakkan untuk saya kembali semula aktif menyanyi," katanya.

Sementara itu, Sarah yang baru melahirkan anak kedua iaitu Dzahira Talita Zahra pada tiga bulan lalu mengakui semakin cekap menguruskan hal berkaitan bayi selepas mengambil kursus jangka pendek di sebuah pusat penjagaan.

"Kita mungkin rasa tidak penting untuk mengambil tahu tentang perkembangan bayi, tapi sebenarnya ia sangat membantu kita apabila berlaku perkara tidak diingini.

"Banyak yang dipelajari dalam hal penjagaan bayi. Ketika anak kedua saya sakit kuning saya boleh merawatnya sendiri tanpa ke hospital melalui beberapa kaedah yang diajar," katanya.

Jelas Sarah, dia dan suami mengambil kursus dua hari tersebut sebelum lahir anak sulungnya, Uwais Alqarni yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Artikel Lain