suria

Syarikat Produksi Tak Rugi Walaupun Filem Bukan 'Boxoffice'

Khabir Bhatia
Khabir Bhatia
Khabir Bhatia

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah Khabir Bhatia tidak menganggap penghasilan sesebuah filem itu boleh merugikan syarikatnya Filmscape Sdn Bhd walaupun ia tidak mencapai sasaran ‘boxoffice.’

Sebaliknya Khabir berkata, keadaan industri filem yang sukar meraih kutipan tinggi sebenarnya masih lagi boleh diselamatkan dalam jangka masa panjang jika semua pihak bijak merancang.

"Semua pihak tahu industri perfileman kita agak perlahan kutipannya. Atas faktor itu kita perlu ubah cara pengeluaran produk (filem) di mana kita meletakkan ia sebagai keuntungan jangka masa panjang menerusi tayangan televisyen mahupun dalam talian.

"Lihatlah bagaimana David Teo mampu menerbitkan pelbagai keluaran filem, tetapi masih lagi mendapat hasilnya," katanya yang ditemui pada pelancaran drama Tanah Merah terbitan Filmscape di restoran House, e@Curve, di sini sini, Isnin.

Tambah Khabir, menerusi syarikatnya itu, dia juga akan mengeluarkan pelbagai produk filem termasuklah drama sebagai arkib simpanan syarikatnya.

"Walaupun ingin menghasilkan pelbagai produk, kualiti dan mesej sesebuah karya masih lagi diterapkan.

"Saya mahu Filmscape menjadi sebuah arkib di mana filem dan drama akan dicari untuk ditayangkan menerusi televisyen, ‘online’ atau medium lain," ujarnya.

Sementara itu, Filmscape bakal muncul dengan sebuah drama baru iaitu Tanah Merah yang akan disiarkan pada 28 Mac ini menerusi saluran ntv7.

Drama yang dibarisi pelakon Norman Hakim, Wan Raja, Aishah Hoo, Nazeera Sardi dan Zara Zya merupakan sebuah karya genre ngeri.

Ia mengisahkan tentang pencarian Johanna (Aishah) seorang wartawan muda dan berani dalam membantu rakannya, Maryam (Nazeera) menyiasat tentang misteri kematian ayahnya di Tanah Merah.

Siasatan yang dibuat Johanna telah ditentang editornya, Roslan (Rahim Omar) namun wanita itu tetap nekad mencari kebenaran kejadian itu.

Khabir berkata, sebagai penerbit dia melihat genre seperti ini tidak banyak yang dipaparkan dan mengambil kesempatan itu untuk menghasilkan genre berkenaan.

"Pembikinan Tanah Merah memang suatu yang mencabar kerana bukan mudah untuk memastikan unsur-unsur misteri dan kejutan digarap dengan baik.

"Diharap ia dapat menarik perhatian penonton menyaksikannya," katanya.

Tanah Merah akan disiarkan setiap Khamis, pukul 8.30 malam.

Artikel Berikut

Artikel Lain