suria

Pemuzik Muda Tidak Guna Akal Untuk Berkarya - David Arumugam

David (tengah) dan Mus (kanan) selaku ikon penasihat serta pengarahnya, Kudin Ramly ketika sesi temu ramah program terbaharu Sentuhan Ikon bermula 2 Mac depan di TV1. - Foto oleh KEVIN TAN
David (tengah) dan Mus (kanan) selaku ikon penasihat serta pengarahnya, Kudin Ramly ketika sesi temu ramah program terbaharu Sentuhan Ikon bermula 2 Mac depan di TV1. - Foto oleh KEVIN TAN
David (tengah) dan Mus (kanan) selaku ikon penasihat serta pengarahnya, Kudin Ramly ketika sesi temu ramah program terbaharu Sentuhan Ikon bermula 2 Mac depan di TV1. - Foto oleh KEVIN TAN

PETALING JAYA: Vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam berkata perubahan teknologi semasa menyebabkan kumpulan generasi muda tidak menggunakan akal dan kreativiti mereka sepenuhnya dalam berkarya.

David, 63, menjelaskan kecanggihan teknologi membuatkan pemuzik baharu mengambil jalan mudah ketika mencipta lagu berbanding kepayahan pemuzik lama.

“Mereka (pemuzik muda) tidak gunakan akal (kreativiti) sepenuhnya ketika hasilkan sesebuah lagu kerana sudah ada bantuan teknologi.

“Lain dengan keadaan kami dahulu. Proses buat sesebuah lagu susah dan terperinci, jadi kami mencurahkan kreativiti sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, Jumaat.

David dan Alleycats merupakan salah seorang daripada tiga kumpulan yang dilantik sebagai penasihat program pencarian kumpulan iaitu Sentuhan Ikon.

Dua lagi kumpulan adalah May dan Lefthanded.

Program sebanyak sembilan episod itu bakal mempertandingkan sembilan kumpulan amatur dan akan ditayangkan bermula 2 Mac depan pada setiap Sabtu dan Ahad pukul 3 petang di TV1.

Mus yang mewakili May pula berkata, proses yang mudah dalam mencipta lagu hari ini menyebabkan kumpulan muda kurang menghargai karya mereka.

“Proses mencipta lagu jauh lagi mudah dan cepat sehingga mereka kurang hargai karya yang dihasilkan.

“Jadi bagaimana lagu dan kumpulan hendak bertahan lama seperti kebanyakan kumpulan dan lagu lama?” katanya.

Ditanya mengenai komitmen terhadap program realiti terbaharu itu, Mus berkata, mereka akan membimbing sembilan kumpulan amatur ini pada aspek teknikal dan perniagaan muzik.

“Kita tidak mengajar mereka mengenai muzik kerana asas itu mereka sudah ada tetapi memperkemaskan lagi kemahiran mereka.

“Paling penting, mereka perlu dibimbing mengenai selok-belok perniagaan muzik dan mengekalkan sesebuah kumpulan,” katanya yang turut dipersetujui David.

Dalam pada itu, pengarah program Kudin Ramly berkata, pencarian bakat baharu bagi kategori kumpulan dengan bimbingan artis profesional adalah julung kali diterbitkan dalam sejarah program realiti tanah air.

“Sebelum ini, memang ada banyak program pencarian kumpulan termasuk Rentak Juara di RTM juga. Tetapi ia hanya pertandingan dan berakhir selepas program selesai.

“Sentuhan Ikon adalah berbeza kerana kumpulan baharu ini mendapat bimbingan tiga penasihat yang berjaya dalam muzik.

“Malah, juara program ini juga dijanjikan kontrak rakaman bersama syarikat Interglobal, selain wang tunai,” katanya.

Program ini menawarkan wang tunai RM50,000 kepada juara dan kontrak rakaman, RM30,000 (naib juara) dan RM15,000 (ketiga).

Sembilan kumpulan yang bakal bersaing dalam program ini dipilih daripada 18 kumpulan yang disenarai pendekkan.

Terdahulu, lebih seratus penyertaan dari seluruh negara dinilai menerusi penyertaan menerusi muat naik video di laman web rasmi www.sentuhanikon.tv. pada Januari lalu.

Pertandingan awal sembilan kumpulan ini akan diadakan di Panggung Anniversary dekat sini, manakala peringkat akhir di Dataran Merdeka pada hujung Mac depan.

Ia bakal diacarakan pelakon Dazrin Kamarudin dan Acong (Sweet Child) serta diadili tiga juri iaitu komposer Helen Yap, Datuk Mokhzani Ismail dan Othman Masri.

Maklumat lanjut, layari Facebook.com/sentuhanikon, @sentuhanikon (Twitter) atau @sentuhanikon (Instagram).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain