suria

Filem Malaysia Hampir Terlepas Peluang Sertai APFF2012

Sebahagian wakil delegasi Malaysia yang menyertai Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 pada 13 hingga 16 Disember depan. - Foto oleh BRIAN MOH
Sebahagian wakil delegasi Malaysia yang menyertai Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 pada 13 hingga 16 Disember depan. - Foto oleh BRIAN MOH
Sebahagian wakil delegasi Malaysia yang menyertai Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 pada 13 hingga 16 Disember depan. - Foto oleh BRIAN MOH

AMPANG: Penggiat filem tanah air hampir berputih mata untuk menyertai Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 pada tahun ini apabila tidak mendapat jemputan daripada pihak penganjur.

Ketua Delegasi negara untuk APFF55, Panchaharam Nalliah atau Pansha berkata, perkara itu berlaku kerana pihaknya menyangka festival berkenaan tidak dianjurkan pada tahun ini apabila mereka tidak dimaklumkan sebarang perkembangan sejak awal lagi.

Bagaimanapun, Pansha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berkata, maklumat daripada seorang kenalan penggiat filem dari luar mengenai acara itu memaksa pihaknya menghubungi penganjur bagi mendapatkan kepastian.

“APFF tidak diadakan pada tahun lepas jadi kita sangka ia tidak dianjurkan pada tahun ini juga ekoran masalah dalaman yang dihadapi mereka (penganjur).

“Saya jadi terkejut apabila seorang kenalan memberitahu mengenai festival itu. Susulan itu, kami berusaha menghubungi penganjur tetapi menemui jalan buntu apabila kiriman emel tidak berbalas.

“Mujurlah, tidak lama selepas itu penganjur menghubungi kami semula dan masih membuka penyertaan kepada kita,” katanya.

Pansha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman penyertaan negara dalam festival itu di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Kelang di sini, petang Selasa.

APFF55 yang disertai 23 negara Asia Pasifik akan berlangsung di Macau, China pada 13 hingga 16 Disember depan.

Pada edisi kali ini, PFM menghantar lima buah filem iaitu Bunohan, Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie, Ombak Rindu dan Songlap.

Pansha berkata, ekoran kesilapan teknikal itu, delegasi negara diberikan kelonggaran untuk bertanding walaupun tarikh penyertaan festival sudah berakhir ketika penganjur menghubungi semula PFM.

“Kalau diikutkan, tarikh penyertaan festival sudah berakhir ketika penganjur menghubungi semula kita tetapi memandangkan kesilapan itu disebabkan oleh pihak mereka, kita diberikan peluang untuk menghantar penyertaan.

“Kalau diikutkan tarikh tutup penyertaan adalah pada 18 Oktober lalu tetapi enganjur memutuskan untuk melanjutkan tarikh penyertaan sehingga 20 November bagi memberikan peluang kepada kita.

“Sebab itu, pada tahun ini kita hanya dapat hantar filem sahaja dan tiada wakil juri kerana kita dimaklumkan mengenai acara itu pada saat-saat akhir,” katanya.

Mengenai lima filem yang mewakili negara ke APFF55, Pansha berkata, pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepelbagaian genre dan potensi yang dimiliki karya-karya terbabit.

“Lima filem itu dipilih kerana kepelbagaian genre dan tema serta mempunyai potensi yang kuat untuk memikat juri APFF.

“Walaupun ada di kalangan filem itu seperti Songlap kurang mendapat sambutan di pawagam, ia mempunyai kualiti dan tema yang bagus,” katanya yang mensasarkan kontinjen negara berpeluang menggondol sekurang-kurangnya dua anugerah pada APFF55.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Razak berkata, penyertaan pada festival itu akan menjadi lebih baik jika PFM turut mempertimbangkan filem-filem Malaysia dalam bahasa Mandarin atau Tamil.

“Bunohan dan Songlap mendapat pengiktirafan pelbagai festival antarabangsa, Nur Kasih The Movie dan Ombak Rindu pula bertemakan melodrama dan percintaan yang dekat dengan selera penonton rantau ini dan Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem epik yang sukar dihasilkan.

“Variasi ini menarik dan berpotensi untuk memikat para juri tetapi elok juga kalau kita calonkan filem-filem bahasa lain seperti filem-filem Cina dan India tempatan,” katanya.

APFF yang bermula pada 1954 di Tokyo, Jepun mempertandingkan 16 kategori daripada lebih 100 pencalonan filem.

Pada tahun ini, delegasi negara disertai lebih 20 wakil Finas, para penerbit, pengarah dan pelakon filem-filem yang bertanding serta pihak media.

Antara penggiat yang bakal menyertai delegasi itu adalah pengarah Ombak Rindu Osman Ali, pengarah dan penerbit Bunohan Dain Said, pelakon Maya Karin (Ombak Rindu), Shaheizy Sam dan Syafie Naswip (Songlap) dan Ummi Nazeera (Hikayat Merong Mahawangsa).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain