suria

Kabir Bhatia Harap Judul Filem ‘Sembunyi’ Diubah

Kabir Bhatia
Kabir Bhatia
Kabir Bhatia

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Kabir Bhatia berharap filem terbarunya Sembunyi yang dipinda pihak penerbit daripada tajuk asal Azazil akan diubah kepada judul lain supaya lebih menarik menjelang tarikh tayangan pada awal 2013.

Kabir berkata, dia yang akur dengan pertukaran judul itu dan tetap menghormati keputusan penerbit Grand Brilliance bagi mengelakkan sebarang kontroversi kelak.

“Ia (perubahan tajuk) adalah keputusan pihak penerbit dan saya perlu menghormatinya. Saya percaya mereka lakukannya untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Namun, saya masih berharap mereka (penerbit) dapat mencari judul yang lebih menarik, sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan ingin tahu kepada penonton sebelum filem ditayangkan pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Filem genre seram dan misteri itu dibintangi antaranya Diana Danielle, Remy Ishak, Umie Aida dan Sharnaaz Ahmad.

Bagaimanapun, penerbit syarikat produksi Filmscape Sdn Bhd itu berkata, dia tetap menerima judul Sembunyi itu dengan hati terbuka sekiranya itu yang menjadi pilihan pihak penerbit apabila ditayangkan kelak.

“Masih ada banyak masa untuk melakukan perubahan. Saya anggap keputusan penerbit yang menangguhkan tayangannya kepada tahun depan sebagai strategi pemasaran yang baik.

“Jika tajuk itu dikekalkan, saya terimanya kerana dalam perniagaan, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri tetapi mengambil kira pandangan banyak pihak.

“Mungkin tajuk itu dirasakan sesuai oleh penerbit maka saya terimanya. Apa pun, tarikan sesebuah filem tidak hanya pada tajuk tetapi jalan cerita dan pelakon juga,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya, pengarah dari New Delhi, India ini berkata, dia sedang sibuk dengan proses suntingan drama bersiri terbaru berjudul Cinta Jangan Pergi untuk TV9 dan persiapan filem terbaru, Gangster Superstar.

“Sekarang saya sedang buat suntingan untuk drama bersiri Cinta Jangan Pergi lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah untuk TV9.

“Selepas ini, saya akan memulakan penggambaran filem Gangster Superstar lakonan Awie dan Kamal Adli pula,” kata pemenang trofi Pengarah Drama Terbaik menerusi drama Di Telapak Kaki Bonda pada Anugerah Skrin 2012, yang diadakan pada 9 November lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain