suria

Yuna Kecewa Dituduh Campuri Kerjaya Qi Razali

Yuna kecewa dituduh campuri kerjaya kekasihnya, Qi Razali.
Yuna kecewa dituduh campuri kerjaya kekasihnya, Qi Razali.
Yuna kecewa dituduh campuri kerjaya kekasihnya, Qi Razali.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui terluka apabila dituduh menjadi penyebab penyingkiran Qi Razali daripada program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3.

Yuna berkata, dakwaan dia mencampuri urusan tugas Qi adalah tidak benar sama sekali kerana pengunduran kekasihnya itu adalah atas kehendak sendiri.

"Qi sebenarnya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan dan bukannya disingkirkan kerana mempunyai masalah disiplin. Itu tidak benar.

"Saya pula tidak ada kena mengena apabila ada pihak mendakwa saya menjadi punca dia menyebabkan penyingkirannya itu," ujarnya kepada mStar Online.

Yuna ditemui ketika menghadiri pelancaran Youtube Malaysia di sini pada Khamis.

Tambah Yuna, tuduhan itu tidak berasas kerana dia jarang berada di Malaysia dan sekiranya kembali ke tanah air, mereka juga sukar untuk berjumpa kerana Qi sibuk dengan penggambaran.

"Saya tiba di Malaysia minggu lalu tetapi hanya dua tiga hari lalu baru dapat bertemu dengannya kerana dia begitu sibuk. Tetapi saya memahami kerana masing-masing pun sibuk dengan pelbagai agenda.

"Bagaimanapun kami sempat berbual mengenai perkara ini dan Qi ada memberitahu saya dia rasa sedih apabila ada pihak menuduhnya sebegitu dan melibatkan saya," ujarnya.

mStar Online sebelum ini melaporkan Qi kononnya disingkirkan menjadi pengacara JJCM kerana menghadapi masalah disiplin apabila terlalu kerap bertemu dengan Yuna sehingga mengabaikan tugasnya.

Dalam pada itu, Yuna memberitahu dia akan kembali ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada 25 Mac ini untuk menyertai rangka promosi album Inggeris pertamanya di sana yang akan dilancarkan pada 24 April depan.

Yuna memberitahu, dia juga akan mengadakan persembahan selama 30 hari berturut-turut di 30 lokasi berbeza bermula bulan Jun ini sebagai rangka promosi albumnya itu.

"Alhamdulilah semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan saya juga berdebar-debar untuk menunggu album tersebut keluar dan menanti reaksi peminat di sana," ujarnya.

Tambah penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu, dia berharap album itu nanti akan dipasarkan di seluruh dunia terutamanya di Malaysia bagi tatapan peminat di sini.

"Setakat ini album berkenaan hanya akan dikeluarkan di Amerika sahaja tetapi kami masih berbincang dengan beberapa syarikat untuk mengedarkan album yang diberi nama Yuna itu ke seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan Youtube versi Malaysia, Yuna berkata, ia akan memberikan kelebihan kepada rakyat negara ini untuk lebih banyak berkarya sekaligus bakat dan hasil kerja mereka dapat ditonton oleh masyarakat dunia.

Artikel Lain