suria

Muzik Terapi Barah Payu Dara Olivia Newton-John

Olivia Newton-John
Olivia Newton-John
Olivia Newton-John

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Olivia Newton-John menjelaskan dia belajar menghargai kepentingan fizikal dan kestabilan emosi selepas berperang dengan barah payudara yang dihidapinya sebelum ini.

Olivia berkata, sepanjang tempoh pemulihan itu, dia sering menjadikan muzik sebagai salah satu terapi dalam proses penyembuhannya selain menenangkan minda dan menaikkan semangatnya.

"Sebagai seorang yang telah terselamat daripada kanser pada jangka masa yang agak panjang, saya telah belajar menghargai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan emosi saya.

"Dalam tempoh pemulihan, saya telah menjadi lebih sedar tentang kuasa muzik. Ia boleh menyembuhkan badan, menenangkan minda dan menaikkan semangat, lebih-lebih lagi, ia boleh menghubungkan hati dan jiwa kita," katanya dalam satu temu bual yang dikirimkan kepada mStar Online di sini, Isnin.

Olivia yang popular dengan lagu-lagu seperti Hopelessly Devoted to You, You’re The One That I Want, Have You Ever Been Mellow, Magic, Guilty, I Honestly Love You, Summer Nights dan Physical bakal mengadakan konsert pada 29 Mac ini di Arena of Stars Genting Highlands bermula pukul 8 malam.

Bercakap mengenai album terbarunya yang berjudul Grace and Gratitude: Renewed, Olivia berkata ia diilhamkan sebagai tanda penghargaan tentang kehidupannya dan orang sekeliling yang disifatkan sebagai hadiah berharga.

Menurutnya, lagu-lagu dalam album berkenaan ditulis bagi membantu pendengar merehatkan diri dan melapangkan diri selepas mengharungi hari yang sibuk atau mempunyai masalah.

"Saya percaya bahawa semua manusia mempunyai kehendak yang sama, iaitu keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

"Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh menerima dan menghormati tradisi masing-masing, tidak kira apa kepercayaan peribadi kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Olivia berkata, konsertnya kali ini adalah merupakan satu 'peta' perjalanan sejarah kerjaya muziknya.

Pada malam itu nanti dia akan mempersembahkan kesemua lagu hit yang pernah menjadi siulan peminat sebagai mengimbau kenangan mereka bersama-samanya.

"Ia akan dimulakan dengan lagu hit ‘country’ saya, lagu dari filem ‘Grease’ dan ‘Xanadu’ dan ‘Physical’ tidak akan dilupakan.

Saya juga akan menyanyikan beberapa lagu baru dari album terkini selain daripada filem terbaru saya, A Few Best Men," ujarnya.

Olivia turut menyatakan rasa teruja dapat hadir ke Malaysia untuk membuat persembahan khas buat para peminatnya dan menyifatkan penduduk di negara ini begitu mesra.

"Saya benar-benar teruja untuk kembali ke Malaysia kerana mereka begitu mesra dan penyayang dan berharap mereka dapat hadir pada malam itu nanti," ujarnya.

Sementara itu, Olivia memberitahu dia teruja dengan kemunculan filem terbarunya berjudul A Few Best Men selepas sudah lama tidak muncul di layar perak.

Dalam filem berkenaan dia memegang watak sebagai ibu pengantin perempuan yang juga seorang isteri kepada seorang ahli politik dan jalan ceritanya yang menarik telah membuka hatinya untuk kembali berlakon.

"Ia satu watak yang berlainan daripada watak-watak yang pernah saya lakonkan, tapi membawa watak itu adalah suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan.

"Telah pun ditayangkan di Australia, A Few Best Men akan mula ditayangkan di seluruh dunia dan saya harap peminat-peminat saya di Malaysia akan dapat menontonnya," ujar Olivia.

Selain itu, dia juga aktif dalam membangkitkan kesedaran tentang betapa pentingnya pengesanan awal kanser payudara dan menyebarkan pengetahuan tentang keutamaan penjagaan kesihatan kepada golongan wanita.

"Selepas hampir sepuluh tahun mengumpul dana, saya berasa amat bangga kerana “Olivia Newton-John: Pusat Kanser dan Kesejahteraan” yang dibina di tempat asal saya iaitu Melbourne, Australia akan dibuka pada bulan Jun 2012. Ia menjadi hari yang sangat istimewa bagi saya," ujarnya.

Artikel Lain