suria

Kumpulan 'Dhuha' Tak Pergi Sekolah

Kumpulan Dhuha. Foto-RAHMAN RAHIM
Kumpulan Dhuha. Foto-RAHMAN RAHIM
Kumpulan Dhuha. Foto-RAHMAN RAHIM

KUALA LUMPUR: Kumpulan kanak-kanak, Dhuha, mengamalkan konsep pembelajaran di rumah dan tidak ke sekolah seperti rakan-rakan seusia mereka.

Dhuha dianggotai oleh tujuh orang adik beradik iaitu Nusaybah, 16, Nasihah, 14, Rumman, 12, Zaidan, 10, Ajwah, 8, Hamied Kishk, 5 dan Safinatunnaja, 3.

Menurut ibu mereka selaku pengurus kumpulan itu, Aidahaniza Abdul Wahab, dia dan suami, Shazly Abdullah ingin anak-anak mereka menggunakan teknik pembelajaran yang berbeza berbanding di sekolah.

"Bukan tidak percaya dengan pengajaran di sekolah tetapi kami mahu mendidik mereka belajar kerana ilmu bukan mahu lulus dalam peperiksaan.

"Cuma apabila tibanya peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Sekolah), mereka akan ke sekolah hanya untuk menduduki peperiksaan tersebut," katanya yang merupakan seorang guru di Kolek Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah.

Tambah Aidahaniza, dengan cara ini juga mereka mudah membahagikan masa sebagai seorang penyanyi berkumpulan dan pelajar.

Dhuha kini muncul dengan album terbaru Mari Belajar Bahasa Arab yang berkonsepkan pendidikan belajar sambil berhibur.

Jom Menyanyi Bahasa Arab memuatkan sebanyak 14 buah lagu popular yang mudah dihafal seperti Selamat Hari jadi, Di Rumah Kami, Hari-Hari, Tubuh Badan Saya dan Alatan Belajar.

"Dalam album ini, lirik pada setiap lagu-lagu tersebut sama sahaja seperti yang dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia, cuma ia dialih bahasakan ke bahasa Arab," ujar Aida.

Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut didedahkan dengan penggunaan alatan muzik seperti gitar, piano dan biola.

"Sebelum ini suami saya pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir jurusan dakwah.

"Dia sendiri melihat keperluan hiburan untuk berdakwah mendidik masyarakat adalah cara yang paling efektif. Sebab itu kami ingin Dhuha turut mengusai ilmu muzik juga," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain