suria

Gara-gara Seksi, Katy Perry Diprotes

GARA-GARA berpakaian terlalu seksi menerusi siri Sesame Street di televisyen, penyanyi yang sedang meningkat naik, Katy Perry, (gambar) menerima protes daripada segelintir ibu bapa di Amerika Syarikat.

Dalam siaran tersebut, wanita berusia 25 tahun itu tampil dengan gaun ketat potongan baju berbentuk V sehingga menampakkan payudara sambil menyanyikan lagunya Hot N Cold bersama Elmo.

Menurut TMZ, Jumaat, ibu bapa itu geram melihat penampilan Katy yang dirasakan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Lantas, mereka mengirimkan surat protes agar siaran yang menampilkan penyanyi Teenage Dream itu dibatalkan.

Namun begitu, ada juga yang membela tunangan Russel Brand itu dengan mengatakan tingkah laku kanak-kanak bergantung kepada bimbingan ibu bapanya dan mereka tidak seharusnya menyalahkan Katy semata-mata.

Dalam pada itu, jurucakap Sesame Street yang enggan masalah tersebut berterusan, memberikan pernyataan kepada UsMagazine.com.

"Sesame Street selalu membuat siaran untuk dua kategori iaitu kanak-kanak dan dewasa. Kami menggunakan parodi selebriti untuk menarik orang dewasa menonton, kerana anak-anak akan mendapat pelajaran terbaik jika didampingi oleh orang dewasa ketika menonton," ujar jurucakap itu.

Akhirnya pihak Sesame Street memutuskan untuk tidak menayangkan penampilan Katy dalam program biasanya. Bagaimanapun, penampilan penyanyi yang terkenal menerusi lagu popular I Kissed a Girl itu masih boleh ditonton di Youtube.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain