suria

Raja Azura Tidak Tertekan Dengan Kemelut Rumah Tangga

KEMELUT rumah tangga yang sedang melanda penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, 38, (gambar) tidak sedikit pun memberikan tekanan dan gangguan kepadanya.

Sebaliknya, pengacara dan pelakon popular itu melalui fasa itu seperti biasa sahaja.

Menurut Raja Azura yang ditemui pada sidang media tergempar mengenai status sebenar perkahwinannya, Jumaat lalu, rutin hariannya tidak terjejas dek cerita-cerita yang timbul.

"Saya tidak tertekan atau hilang fokus dengan berita keretakan rumah tangga saya yang tersebar luas. Saya masih lagi bekerja setiap hari dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu seperti biasa.

"Tiada apa yang berubah. Saya dan suami masih tinggal sebumbung dan kami masih baik dan mesra macam dulu. Kami masih menjalankan hak masing-masing seperti sebelumnya," katanya.

Ditanya sejauh manakah dia melihat kesungguhan suaminya untuk menyelesaikan kemelut yang melanda, Raja Azura berkata, bukan sahaja suami malah dirinya sendiri akan turut sama memperbaiki kesilapan masing-masing sepanjang sembilan tahun berkahwin.

"Suami saya seorang yang baik dan penyayang. Kami saling menghormati antara satu sama lain. Cuma biasalah selepas sembilan tahun berkahwin mungkin kami sudah begitu selesa dengan perkahwinan kami hingga alpa dengan tanggungjawab dan hak masing-masing.

"Bukan sahaja suami, malah saya sendiri pun akan sama-sama membetulkan kesilapan kami dalam perkahwinan ini. Saya yakin dan percaya, sebagai ketua keluarga, dia begitu menyayangi keluarganya dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku," katanya yang percaya isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan baik.

Menerusi sidang media yang diadakan pada Jumaat lalu, Raja Azura menjelaskan kepada pihak media bahawa kehadirannya ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selasa lalu, bukanlah bertujuan untuk memfailkan penceraian seperti mana yang didakwa.

Sebaliknya, pasangan itu hadir ke mahkamah untuk medapatkan khidmat kaunseling dan bimbingan bagi menyelesaikan konflik dalam perkahwinannya.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada bulan Mac 2001. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mia Maizurah, 4.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain