suria

Album Siap Dek Desakan Ibu Bapa - Aizat

Aizat berbangga dengan kelahiran album keduanya, Urusan Aizat Amdan yang dilancarkan baru-baru ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Aizat berbangga dengan kelahiran album keduanya, Urusan Aizat Amdan yang dilancarkan baru-baru ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Aizat berbangga dengan kelahiran album keduanya, Urusan Aizat Amdan yang dilancarkan baru-baru ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

PENYANYI muda Aizat Amdan atau mesra disapa Aizat mengakui begitu teruja dengan kelahiran album keduanya iaitu Urusan Aizat Amdan (UA2) yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut komposer berbakat besar ini, keistimewaan UA2 bukan sahaja terletak pada konsep dan susunan muziknya yang segar dan unik malah album yang mengandungi tujuh lagu itu adalah hasil titik peluh dan kerja keras dia dan abangnya Anas, selama setahun.

"Album kali ini bukan sahaja istimewa kerana konsep dan susunan muzik yang saya ketengahkan, malah ia juga adalah tanda pencapaian saya dan abang selepas setahun berhempas-pulas menyiapkannya.

"Album ini seperti mimpi yang jadi kenyataan. Kerja-keras dan komitmen yang kami curahkan untuk menghasilkan album ini terbayar apabila ia dapat disiapkan," katanya.

Mengulas lanjut tentang konsep dan genre album UA2, Aizat berkata, kesemua lagu dalam album yang diterbitkan oleh syarikat produksinya Kasi Gegar Entertainment itu dipengaruhi oleh muzik dari dalam dan luar negara termasuklah muzik M. Nasir, Jason Mraz, James Blunt dan ramai lagi.

Tambah Aizat, album kali ini benar-benar memberi kepuasan kerana dia dan keluarga terlibat sepenuhnya dalam kerja-kerja penerbitan daripada aspek susunan muzik, kerja-kerja rakaman sehinggalah penghasilan kulit album.

"Saya sangat puas hati dengan album ini. Kandungan dan susunan muziknya adalah seratus peratus hasil kerja saya dan abang.

"Saya bukan sahaja berpeluang untuk memilih dan menentukan kandungan dan susunan muziknya, malah turut bekerja di samping tenaga kerja yang muda dan begitu teruja terhadap muzik," katanya lagi.

Walaubagaimanapun, menurut jejaka yang berasal dari Raub, Pahang ini, UA2 tidak 'lahir' semudah yang disangka. Banyak cabaran dan kesulitan yang terpaksa ditempuhinya dalam merealisasikan projek itu.

Jika bukan kerana desakan dan tekanan daripada kedua orang tuanya yang tidak putus-putus bertanya bila album itu akan disiapkan, mungkin UA2 masih belum diterbitkan.

"Hendak buat album ini bukan semudah yang disangka. Sepanjang setahun proses penerbitan, ibu bapa saya tidak berhenti-henti mendesak dan bertanyakan itu dan ini, bila album akan siap dan sebagainya.

"Hakikatnya, tekanan yang diberikan oleh ibu bapa saya itu menjadi penggerak dan motivasi terbaik sehingga terhasilnya album ini. Jika tidak, mungkin ia masih tak siap-siap lagi," katanya berseloroh.

Berkisar tentang kisah kehidupan dan situasi yang dihadapi oleh manusia pada hari ini, UA2 menampilkan lagu-lagu seperti Susun Silang Kata, Mana Oh Mana, Senyum, Erti Hari Ini dan Sg. Lui, selain dua lagu berbahasa Inggeris, Emotions dan Years From Now.

Seiring dengan perkembangan teknologi, album UA2 yang kini berada di pasaran juga boleh dibeli secara digital menerusi laman web erama.tv dan aizat.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahmad Tarmizi Juara AQ4

Artikel Lain