suria

Hans Tak Kisah Cuci 2 Dinilai Kualiti

Hans tidak kisah jika Cuci The Musical 2 diukur perbandingannya dengan musim pertamanya. - Foto oleh UU BAN
Hans tidak kisah jika Cuci The Musical 2 diukur perbandingannya dengan musim pertamanya. - Foto oleh UU BAN
Hans tidak kisah jika Cuci The Musical 2 diukur perbandingannya dengan musim pertamanya. - Foto oleh UU BAN

KEHANGATAN teater muzikal popular, Cuci The Musical (CTM) yang bakal kembali untuk musim kedua pada hujung bulan ini kian terasa.

Namun, seghairah mana sekalipun pun penonton menjelang pementasan teater itu, penerbit dan pelakonnya Hans Isaac tetap tidak mampu menolak kemungkinan pementasan kali ini pasti akan dibuat perbandingan dengan musim pertamanya.

Menurut Hans, sekalipun dia menjanjikan pementasan CTM2 lebih besar dan menarik daripada CTM1, dia tetap tidak dapat menolak kemungkinan teater itu diukur nilainya dengan teater bahagian pertamanya.

"Perbandingan antara CTM1 dan CTM2 pasti akan dibuat. Itu satu kenyataan yang tidak dapat saya sangkal tetapi saya tidak kisah. Apa yang saya tahu, CTM2 akan jadi lebih besar dengan pelaksanaan plot yang berbeza dan lebih istimewa daripada CTM1.

"Malah, untuk kali ini susunan muzik, koreografer, busana dan penggayaan pelakon adalah berlainan dan lebih hebat. Penonton kena datang dan saksikan sendiri jika hendak tahu apa kelainan pada musim ini," katanya yang ditemui sejurus selesai sidang media muzikal itu, Selasa di Istana Budaya.

Jika pada musim pertama, teater yang mendapat sambutan luar biasa itu mencatatkan sebanyak 19,000 orang jumlah penonton, bagi musim ini pula Hans mensasarkan jumlah penonton akan meningkat ke angka 23,000 penonton.

Fakta itu diakui oleh Hans selepas melihat perkembangan positif pada penjualan tiket menerusi jumlah tempahan awal yang diterima.

Katanya, tiket untuk empat pertunjukan sudah habis terjual dan penjualannya terus meningkat sebanyak 70 peratus sejak ia dilancarkan.

Menyentuh pula tentang sesi latihan CTM2 yang sedang giat dijalankan, Hans berkata, dengan barisan pelakon dan produksi yang lebih kuat, segala kesulitan yang dilalui untuk persiapan CTM2 sejak lima bulan lalu menjadi lebih mudah dan lancar.

Malah, dia dan pasukan Cuci sebenarnya sudah tidak sabar dan teruja untuk beraksi pada pementasan kali ini.

"Kami semua sangat teruja. Pasukan yang lebih kuat untuk kali ini pastinya akan memberi impak yang lebih besar dan berkesan pada CTM2. Keserasian antara pelakon juga semakin baik hari demi hari. Saya yakin semua pelakon dan kru akan berikan yang terbaik sepanjang pementasan itu nanti," jelasnya.

Pementasan CTM2 yang menampilkan Afdlin Shauki, Hans Isaac, Awie, Nabil, Jaclyn Victor, Vanidah Imran, Harith Iskander, Rehman Rashid dan ramai lagi itu turut memperkenalkan dua tenaga kerja baru iaitu pengarah muzik Acis dan koreografer Pat Ibrahim.

Teater muzikal terbitan Tall Order Productions yang diarahkan oleh Harith Iskander dan Zahim Albakri itu akan mula dipentaskan dari 27 Julai hingga 9 Ogos 2010 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel Lain