suria

Faizal AF Berjinak-jinak Ke Belakang Tabir Pula

PENYANYI dan pelakon Faizal Ramly atau lebih sinonim dengan gelaran Faizal AF mengakui sejak berada di bawah pengurusan Alakazam Productions, bukan sahaja kehidupan peribadinya bertambah baik malah dia kini mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja belakang tabir untuk produksi filem pula.

Menurut Faizal, selain sibuk dengan sesi latihan vokal dan memenuhi undangan persembahan nyanyian di merata tempat, dia juga diberi peluang oleh pihak pengurusannya untuk mempelajari cabang baru itu.

"Kini saya mula berjinak-jinak dengan kerja pra-produksi untuk filem baru terbitan Alakazam Productions.

"Sebelum ini pun, ketika penggambaran filem Pulau Asmara berlangsung, saya sudah mula terlibat secara tidak langsung dengan olahan skrip dan persiapan lakon layar untuk filem itu.

"Namun, untuk projek filem terbaru ini, saya diberi peluang lebih besar. Saya dapat berkongsi buah fikiran tentang jalan cerita filem itu. Saya berpeluang untuk memberi pendapat dan mengolah jalan ceritanya agar lebih menarik.

"Selain terlibat di belakang tabir, insya-Allah saya juga akan berlakon dalam filem itu.

"Tapi buat masa ini, judulnya belum boleh beritahu, cuma ia sebuah filem seram," kata Faizal yang enggan berkongsi judul filem itu dengan alasan ia masih berada di peringkat awal.

Sebelum ini, Faizal pernah membintangi dua buah filem, Momok The Movie dan Pulau Asmara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain