suria

Fahrin: Saya Tidak Akan 'Berbaik' Semula Dengan Scha

PUNCA berakhirnya cerita cinta pelakon Fahrin Ahmad, 30 dan Scha Alyahya, 26 hujung Ramadhan lalu sebenarnya masih lagi menjadi tanda tanya ramai.

Masakan tidak, tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja meraka dikatakan putus cinta.

Namun susulan kenyataan yang diberi oleh kedua-dua pihak seperti berdolak-dalik tanpa memberikan sebuah jawapan yang pasti.

Cakap-cakap mulut banyak berpihak kepada Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir dan menyalahkan Fahrin dalam kegagalan hubungan cinta mereka.

Berpeluang menemui Fahrin pada Majlis perlancaran sebagai jurucakap produk Garnier Men pagi tadi, sengaja perkara itu dibangkitkan lagi untuk mengupas lanjut kisah disebalik perpisahan dua selebriti ini.

Fahrin tidak menyangkal persepsi masyarakat yang menyalahkannya dalam hal ini, namun katanya itu adalah hak mereka.

Bagi Fahrin jika banyak bercakap lebih memburukkan keadaan dan lebih baik bercakap bila perlu dan tepat pada masanya.

"Biar orang nak cakap apa, lambat-laun orang akan mengetahui kebenarannya, benda dah ada depan mata.

"Jika anda berada ditempat saya, anda akan rasa seronok dan tertarik dengan permainannya," ujar Fahrin dengan nada yang sinis.

Saat ditanya adakah Awal Ashaari nama yang disebut-sebut menjadi punca perpisahan mereka, Fahrin hanya tersenyum.

"Kamu carilah sendiri, saya tidak mahu cakap siapa dia. Tapi kalau nak tahu, ikuti perkembangan dia (Scha) dan carilah dia dengan siapa sekarang," ujarnya.

Pengacara Sehati Berdansa ini turut memberitahu bahawa perpisahan dengan pasangan pengacaraanya itu berakhir secara serius pada bulan Ramadhan lalu namun mengakui pada peringkat awal hatinya masih berharap agar percintaan itu masih boleh diperbaiki.

"Pada peringkat awal, saya yakin tiada jodoh dan tiada keserasian antara kami. Namun, apabila masa berlalu saya nampak kebenarannya.

"Mulanya saya tidak pernah menutup ruang untuk berbaik semula tapi lama-kelamaan saya tahu perkara ini dan saya tidak akan 'berbaik' semula dengan Scha," kata Fahrin yang tidak mahu perkara ini menjejaskan kredibilitinya dalam Sehati Berdansa.

Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui agak sukar untuk bergandingan bersama bekas kekasihnya itu ketika mengendalikan Sehati Berdansa.

"Susah.. bukan mudah berada dalam situasi saya dan untuk buat yang terbaik. Kalau memikirkan daya dan kekuatan memang saya tak mampu, tapi Tuhan bagi kekuatan pada saya.

"Saya dah tanamkan di fikiran untuk cabar diri saya, selagi orang tidak dapat melihat apa yang terjadi disebaliknya, dan orang 'tertipu' dengan kemesraan kami, itu kejayaan saya untuk lebih profesional dan ketepikan hal peribadi.

"Lagi orang tidak nampak lagi bagus. Tapi hakikatnya bukan mudah," keluh Fahrin.

Tambahnya, hubungan dengan Scha kini hanya atas dasar profesional dan berkaitan dengan kerja semata-mata.

Beliau turut menyerahkan kepada Tuhan dan masa untuk menjelaskan segala-galanya.

Fahrin yang kini menjadi jurucakap kepada tiga produk iaitu Celcom, Shell dan Garnier berkata razekinya semakin bertambah dikala usianya kini menjangkau 30 tahun.

"Disebalik ujian yang menimpa, Tuhan turunkan banyak razeki untuk saya bersyukur. Kini saya sibuk dengan tugas dan jadual yang semakin padat ini sedikit sebanyak dapat lupakan hal peribadi," kata Fahrin yang mengakui semakin mencabar untuk menguruskan jadual hariannya.

Fahrin berkata, dia sedang melalui hari-hari yang seronok dan mempunyai ruang masa serta tumpuan yang lebih terhadap dirinya sendiri.

Artikel Lain