suria

Keputusan Tuntutan Saman Eja RM240,000 Ditangguhkan Ke 9 Disember

Eja. -Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Eja. -Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Eja. -Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini menangguhkan keputusan kes tuntutan saman ganti rugi pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 36, sebanyak RM240,000 yang difailkan terhadap Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis) ke tarikh 9 Disember ini.

Seorang pegawai mahkamah yang enggan dikenali memberitahu media hari ini mengenai penangguhan keputusan kes itu.

Dia tidak memberikan sebab-sebab kes itu ditangguhkan.

Eja menyaman Gulatis bagi menuntut ganti rugi atas dakwaan syarikat itu mengingkari perjanjian lisan apabila menggunakan gambarnya pada papan iklan, poster dan banner walaupun tempoh kontrak telah tamat.

Hakim Madihah Hairullah telah menetapkan hari ini untuk membuat keputusan semasa perbicaraan kes itu pada 26 Oktober lalu.

Eja dan peguamnya Aida Hassan serta wakil Gulatis dan peguamnya Rejinder Singh tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Menurut prosiding kes sebelum ini, Eja mendakwa reputasinya sebagai selebriti tercemar dan pendapatannya terjejas ekoran tindakan syarikat Gulatis menggunakan gambar tanpa kebenarannya bagi tujuan promosi syarikat tersebut.

Eja dalam keterangannya juga berkata, beliau hanya bersetuju membenarkan gambarnya bersaiz kecil dipamer pada borang peraduan "Guess Who and Win" anjuran syarikat itu semasa perayaan Hari Raya 2005.

Bagaimanapun katanya, gambarnya itu telah dibesarkan dan digunakan pada poster, banner dan brosur yang dipamerkan di jalan-jalan raya di Malaysia serta siaran televisyen tanpa persetujuan beliau.

Katanya tindakan syarikat itu yang telah meluaskan penggunaan gambarnya "sebesar bangunan Gulatis" telah menjejaskan sumber pendapatannya.

Ini kerana katanya, agensi lain menganggap beliau sebagai duta Gulatis dan dengan itu tidak menawarkan beliau apa-apa kerja.

Dalam tempoh berkontrak dengan Gulatis, Eja memberitahu beliau diberi ganjaran belian kredit dan jahitan dengan tukang jahit di syarikat berkenaan bernilai RM1,500 kerana persetujuannya membenarkan gambarnya dipamerkan pada borang peraduan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain