suria

Farah Asyikin: Biar saya 'undur diri'

NADA suaranya jelas menggambarkan kesedihan hatinya apabila dilemparkan dengan tohmahan kononnya dia menjalinkan hubungan dengan suami orang.

Bagi Farah Asyikin, dia tidak menyangka perkenalan ikhlas dengan seorang lelaki berusia 35 tahun yang akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka itu akan membuatkan dirinya 'terjerumus' dalam kontroversi ini.

Semuanya gara-gara satu e-mail yang tersebar dikatakan dihantar oleh seseorang kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang mendakwa Farah bercinta dengan suami orang dan mereka turut bercuti bersama di Hong Kong, baru-baru ini.

Tutur Farah, dia tidak menafikan lelaki yang dimaksudkan di dalam e-mail itu ialah M, berasal dari Singapura, yang mana hubungan mereka baru saja benar-benar serius sejak empat bulan yang lalu. Namun, kata penyanyi berusia 30 tahun ini, apa yang diperkatakan di dalam email tersebut tentang dirinya adalah tidak benar.

"Kami sebenarnya berkenalan menerusi laman web Facebook sejak setahun lalu. Kami hanya kawan biasa saja ketika itu, sehinggalah beberapa bulan kemudiannya kami bertemu dan dari situ kami mula mengenali diri masing-masing.

"Pada waktu itu, dia beritahu saya bahawa dia baru bercerai beberapa bulan sebelum kami bertemu. Saya faham keadaannya ketika itu apatah lagi saya juga pernah melalui perkara yang sama dulu. Jadi, kami lebih senang berkawan saja waktu itu dan hanya benar-benar serius sejak empat bulan lalu," kata Farah yang juga pernah melalui perceraian dengan bekas suaminya, pada 26 Mei tahun lalu.

Lantaran itu, kata penyanyi yang popular dengan lagu 1000 Penipuan dan Hello ini, tidak sepatutnya timbul dakwaan sedemikian ke atasnya memandangkan dia tidak ada kena-mengena di dalam perceraian pasangan tersebut sehinggalah mereka bertemu dan berkawan rapat selepas itu.

Farah juga tidak menafikan pernah bercuti ke Hong Kong baru-baru ini, tetapi menyangkal dakwaan yang kononnya dia ke sana dengan lelaki tersebut.

"Saya ke sana seorang diri dan bercuti selama lapan hari. Tetapi saya akui, memang ada bertemu dengan M di Macau kerana dia bekerja di sana. Itu saja. Selebihnya, saya bercuti sendirian di Hong Kong dan China. Kandungan e-mail yang mengatakan saya bercuti dengannya di sana adalah tidak benar sama sekali," ujarnya dalam nada sedih.

Enggan meruncingkan lagi keadaan, kata Farah, dia terpaksa membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada hubungan yang baru terjalin itu supaya M dan bekas isterinya dapat menyelesaikan dulu hal berkaitan perceraian mereka mengikut prosedur yang betul.

"Sebelum saya dapat e-mail tersebut, saya pernah dihubungi bekas isterinya. Dan ketika itu, saya sudah jelaskan perkara yang sebenar kepadanya. Apa masalah antara mereka, itu biarlah mereka selesaikan sendiri. Saya tidak mahu campur.

"Disebabkan itu, saya rasa langkah terbaik yang boleh saya lakukan sekarang ialah 'mengundurkan diri' saja. Saya tidak mahu keruhkan keadaan ini.

"Memang berat untuk buat keputusan ini, tetapi saya fikir, saya pernah lalui perkara yang lebih teruk sebelum ini...dulu saya pernah dikatakan ada hubungan dengan lelaki lain sehingga menyebabkan rumahtangga saya gagal bertahan.

"Saya hanya mampu bersabar dengan semua ini. Tetapi ingin saya tegaskan di sini, saya sentiasa letak pendirian untuk tidak menjalinkan hubungan dengan suami orang.

"Malah, saya selalu tidak menggalakkan kawan-kawan mahupun kenalan rapat saya untuk buat perkara macam ini. Jadi, takkan saya pula yang akan buat?.

"Apapun, saya ingin berterima kasih kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang menghubungi saya terlebih dahulu untuk mengesahkan tentang dakwaan tersebut," kata Farah yang juga sedih kerana keluarganya turut terkena 'tempias' gara-gara kisah ini.

Ditanya bagaimana penerimaan M setelah penyanyi ini membuat keputusan untuk 'undur diri', kata Farah, ia memang sukar diterima oleh lelaki itu.

"Sudah tentu dia tidak gembira dengan keputusan ini. Tetapi, dia akhirnya menghormati apa yang saya lakukan ini. Dia sendiri berharap untuk selesaikan masalahnya dengan cepat.

"Insya-allah, jika ada jodoh hubungan kami bersambung semula selepas ini, saya menerimanya. Tetapi apa yang pasti, saya ingin tenangkan fikiran terlebih dahulu," kata Farah yang akui, tidak lagi menghubungi M selepas mengambil keputusan tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain