suria

Rabecca tak percaya bakal suaminya kaki pukul!

Sambil ketawa, Becca memaklumkan yang lelaki itu bekerja sebagai peguam dan merupakan sepupu kepada salah seorang penyanyi terkenal. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Sambil ketawa, Becca memaklumkan yang lelaki itu bekerja sebagai peguam dan merupakan sepupu kepada salah seorang penyanyi terkenal. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Sambil ketawa, Becca memaklumkan yang lelaki itu bekerja sebagai peguam dan merupakan sepupu kepada salah seorang penyanyi terkenal. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG

“SAYA tak percaya dia kaki pukul kerana dia seorang yang lemah-lembut dan baik hati..,” kata pelakon cantik campuran Indonesia -Arab-Melayu-Cina, Rabecca Nur Al-Islam Ahmad setelah ditanya tentang bakal suaminya, duda anak dua.

Persoalan itu timbul setelah ada dakwaan daripada sumber yang tidak dikenali mengatakan Rabecca disyaki sedang bercinta dan bakal berkahwin dengan lelaki yang didakwa kaki pukul itu.

Semuanya gara-gara Rabecca pernah menyebut tentang pilihan hatinya iaitu duda anak dua dalam sebuah akhbar tabloid.

Malah, sumber itu juga menjelaskan yang anak duda itu memberitahu pernah melihat gambar Rabecca berpelukan dengan bapanya.

Nama dan pekerjaan lelaki itu juga didedahkan oleh sumber itu tetapi setelah disahkan dengan gadis yang mesra dengan gelaran Becca ini, dia menafikannya.

Sambil ketawa, Becca memaklumkan yang lelaki itu bekerja sebagai peguam dan merupakan sepupu kepada salah seorang penyanyi terkenal.

Ternyata Becca lebih mengenali duda itu setelah berkenalan sejak dua tahun lalu. Dia juga mengaku rapat dengan dua orang anak duda itu yang berusia 13 tahun dan 7 tahun termasuk ahli keluarganya yang lain.

“Tahun lalu, saya mengikut dia pulang ke kampungnya tetapi tahun ini saya tak dapat sebab saya sibuk dengan majlis ‘reunion’ bersama kawan-kawan yang satu sekolah dengan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Majidee Baru, Johor Bahru.

“Waktu saya kenal dia pun, dia sudah bercerai dengan bekas isterinya. Jadi agak lama juga dia menduda sehinggalah kami bertemu pada dua tahun lalu.

“Kami diperkenalkan oleh rakan saya dan waktu itu saya hendak menjual insurans kepadanya kerana selain berlakon, saya juga membuat kerja sambilan sebagai ejen insurans Arab-Malaysian. Tetapi sekarang saya dah tak jual insurans lagi kerana dia tak izinkan.

“Sejak dari kami berkawan, dia juga memperkenalkan anak-anaknya dan saya suka berborak dengan mereka yang suka bercerita.

“Saya juga dah rapat dengan keluarganya yang datang dari orang baik-baik dan golongan beragama.

“Kalau jodoh kami panjang, saya tak nak bertunang tetapi terus nak nikah dan majlis itu perlu dilakukan di kampung saya di Johor Bahru, Johor,” ujar sepupu kepada pelakon Zizie Izette ini yang mengimpikan perkahwinan yang sederhana.

Diikutkan, memanglah Becca teringin untuk menamatkan zaman bujangnya secepat yang mungkin namun disebabkan pasangannya itu berstatus duda, banyak perkara yang perlu diambil kira.

“Kalau tanya kepada saya, lagi cepat lagi saya suka. Tetapi saya kena fahamlah yang saya berkahwin dengan duda.

“Jadi banyak perkara kena fikir seperti tarikh pernikahan mesti waktu cuti sekolah agar anak-anak dia dapat turut serta dalam majlis itu. Nantilah, kalau dah tiba masanya saya akan beritahu,” beritahu graduan rekaan fesyen di International School of Jakarta.

‘Saya terlalu cantik untuk dia'

Cinta itu buta, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga dengan Becca mahupun duda yang mempunyai jarak umur yang jauh berbeza dengannya ini. Mereka cuba untuk saling mengenali antara satu sama lain walaupun pada mulanya masing-masing ‘takut’ untuk bercinta lagi.

“Sebelum mengenalinya, saya pernah juga bercinta dengan lelaki berusia yang bujang tetapi akhirnya hubungan kami putus di tengah jalan sebab dia ‘kaki sosial’ dan tidak matang.

“Selepas mengenalinya, saya ada juga tanya kepada dia kenapa lama sangat menduda tetapi jawapannya kerana fobia dengan perempuan.

“Pada mulanya dia takut juga hendak berkawan rapat dengan saya sebab saya terlalu cantik untuk dia.

“Dia juga tidak mengenali saya sebagai pelakon tetapi apabila mendapat tahu yang saya ni seorang pelakon, dia terkejut dan ‘ok’ sahaja. Lama-kelamaan masing-masing mudah serasi dan tak kisah tentang semua itu.

“Saya pun jenis tak kisah dengan beza umur kami, rupa paras. Yang penting dia baik, ikhlas dan melayan keluarga saya seperti dia melayan keluarganya.

“Bagi saya dialah ‘Mr. Right’ yang saya cari selama ini. Dia matang, tidak sosial dan serius. Tiada siapa yang sempurna dalam dunia ini tetapi dia cukup sempurna untuk saya...,” katanya yang tidak pernah bercinta dengan lelaki berusia 20-an pada usianya mencecah 23 tahun sekarang.

Takut berkahwin duda tetapi fikir positif

Berkahwin dengan seorang duda tidak pernah difikirkan oleh Becca namun pernah juga dia memikirkan tentang risiko penceraian.

Becca akui perangai manjanya boleh berubah-ubah dan jika seseorang itu tidak memahaminya mungkin sukar lebih-lebih lagi untuk hidup bersama.

“Saya rasa dia mampu mendidik saya dan menjadi suami yang sempurna dengan memberikan kasih sayang serta segala-galanya.

“Saya takut juga apabila memikirkan jodoh dengan seorang duda. Tipulah kalau tiada. Tetapi kalau saya terus-terusan fikir takut, saya takkan kahwin pula nanti. Jadi, lebih baik saya fikir positif,” ujarnya yang mudah mesra dengan budak-budak ini.

Impian Becca dengan bakal suaminya itu agar mereka dapat menempuh dugaan dalam alam perkahwinan akan datang.

“Dalam perkahwinan, ada alam dugaan dan kegembiraan dan kalau dia menjadi suami saya, biarlah dia menjadi suami yang pertama dan yang terakhir dalam hidup saya.

“Insya-Allah, kalau saya berkahwin dengan dia, saya masih akan ceburi bidang seni kerana dia dapat menerima karier saya,” ulasnya yang mempunyai seorang anak angkat, Nor Adam Daniel berusia setahun enam bulan.

Becca berkata dia mengambil Adam sejak anak itu masih mempunyai tali pusat lagi setelah diserah oleh ibu kandung Adam sendiri.

Sekali-sekala Adam akan datang kepada 'mummy'nya dan merengek manja ketika temubual dilakukan di rumah Becca.

Artikel Sebelum

Artikel Lain