suria

Jamal akan pentaskan muzikal lagu lagenda tahun depan

Jamal akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan anaknya, Osama Yamani. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Jamal akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan anaknya, Osama Yamani. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Jamal akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan anaknya, Osama Yamani. -foto mStar oleh SITI AZIRA

NAMA Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah masih kuat untuk menarik para peminatnya hadir menyaksikan konsert muzikal ‘Jamal...Kembara Seniman’ sekitar Ogos lalu.

Walaupun tidak mendapat tajaan mana-mana pihak, nampaknya penyanyi terkenal menerusi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’, ‘Azura’ dan ‘Gadis Melayu’ ini mampu merealisasikan konsert istimewanya itu.

Malah, Jamal pernah berkata yang dia sendiri tidak menganggap ini akan menjadi konset terakhirnya.

Dalam diam-diam, Jamal mengaku yang dia sedang merancang untuk mementaskan konsert untuk lagu-lagu lagenda pada tahun depan.

“Saya telah memikir untuk melakukan konsert untuk lagu-lagu lagenda di Istana Budaya pada tahun depan yang agak berlainan konsep daripada konsert sebelum ini.

“Lagu-lagu lagenda yang dimaksudkan adalah lagu popular dari dulu hingga sekarang seperti nyanyian Alleycats, P. Ramlee sebagai tribut.

“Insya-Allah, jika tiada aral kita akan laksanakan konsert itu lepas raya tahun depan,” ujarnya yang turut menanam impian untuk merakamkan semula lagu-lagu komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab yang dinyanyikan oleh artis lain.

Kata Jamal, dia mahu mengumpulkan semua koleksi lagu-lagu Ahmad Nawab dalam sebuah album kompilasi.

“Saya nak rakam semula lagu-lagu Ahmad Nawab yang dinyanyikan oleh artis lain seperti Datuk DJ Dave dan Datuk Khadijah Ibrahim.

“Selain itu, saya juga akan memuatkan dalam sebuah atau dua buah lagu baru,” katanya yang memaklumkan sepatutnya merakamkan sebuah lagu raya tetapi disebabkan masalah tertentu Jamal tidak dapat berbuat demikian.

Jamal yang telah tampil dengan album terbarunya, ‘Tak Hilang Cinta’ turut mengakui yang album memuatkan 10 lagu seperti ‘Tak Hilang Cinta Di Dunia’, ‘Apa Lagi’ dan ‘Terpesona Dusta’ itu telah pun mendapat cakera emas iaitu dianggarkan lebih 10,000 unit album yang telah terjual.

Rai aidilfitri dengan Perdana Menteri dan ahli politik

Bercerita tentang kehidupan baru Jamal selepas bercerai dengan Fatimatuzahra Samat pada 4 Julai lalu, kini Jamal berkata bulan puasanya lebih fokus untuk membuat ibadat dan amal.

“Alhamdulillah, saya lebih senang dengan keadaan begini dan mudah-mudahan Allah akan beri rahmat untuk tahun-tahun seterusnya,” ujarnya yang akan menyambut Hari Raya pertama di Kuala Lumpur.

Menurut Jamal, dia akan meraikan Hari Raya nanti sempena majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sri Perdana, Putrajaya.

“Saya terlibat dengan persembahan di rumah PM pada hari raya pertama nanti. Anak saya, Osama Yamani juga akan mengikut saya nanti untuk beraya bersama-sama.

“Saya juga akan menghadiri majlis rumah terbuka beberapa ahli parlimen dan ahli politik seperti di Serian, Sarawak dan sekitar Kuala Lumpur yang kebanyakannya ingin meraikan pengundi-pengundi mereka,” kata Jamal.

Namun, dia bersifat berkecuali apabila diajukan tentang perancangan untuk bergelar ahli politik pada suatu hari nanti.

Jawab Jamal sambil tersenyum, “Sebagai artis, saya berada di tengah-tengah kerana parti pembangkang pun ada yang berminat dengan saya..”

Selepas selesai beraya di Kuala Lumpur, Jamal akan pulang ke kampungnya di Ipoh, Perak pada Hari Raya keempat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain