suria

Aznil tulis buku rakam kisah bersama selebriti tempatan dan luar negara

Aznil ialah pengacara, penyanyi, pelakon dan penyampai radio ERA FM.
Aznil ialah pengacara, penyanyi, pelakon dan penyampai radio ERA FM.
Aznil ialah pengacara, penyanyi, pelakon dan penyampai radio ERA FM.

KISAH suka dan duka selebriti tempatan dan luar negara sering menjadi tajuk hangat paparan media massa setiap hari. Namun kita perlu membelek majalah, surat khabar dan rakaman berita pada tarikh atau keluaran tertentu untuk membaca kisah-kisah ini.

Jika projek terbaru personaliti popular dan juga penyampai radio ERA FM, Aznil Haji Nawawi menjadi kenyataan pada tahun hadapan, kita akan dapat baca cerita artis-artis tempatan dan luar negara dalam sebuah buku sahaja.

"Buku kompilasi ini dijangka dikeluarkan pada tahun depan. Ia akan merakamkan kisah 20 tahun pembabitan saya dalam industri hiburan bersama artis-artis tempatan dan luar negara," kata Aznil ketika dihubungi baru-baru ini.

Aznil, 47, yang juga pengacara, penyanyi dan pelakon itu berkata, dia telah menulis kisah-kisah artis tersebut sejak Disember lalu dan masih menulis cerita-cerita artis pada waktu lapang.

"Misalnya, saya kenal Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza. Yang terbaru ialah kisah perceraian Kris Dayanti atau KD dengan Anang. Apa cerita yang seronok dan sedih? Apa pula peristiwa melucukan tentang mereka?

"Saya akan tulis banyak cerita mengenai kenangan peribadi saya bersama artis-artis terbabit. Saya juga akan melontarkan pandangan saya terhadap mereka," kata Aznil yang pernah pernah menjadi wartawan siaran TV3 dan berguru dengan penulis-penulis seperti Abd Hadith dan Datuk Ahmad Taib di News Straits Times dulu.

Menurut Aznil, buku berkulit keras itu seboleh-bolehnya akan memuatkan lebih kurang 100 cerita tentang artis dan setiap bab menceritakan seorang artis yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Katanya, artis-artis tersebut akan disusun mengikut abjad nama selebriti tersebut untuk memudahkan pembaca.

"Saya tak nak berhenti menulis. Bila dah mula menulis, momentum itu perlu diteruskan. Apabila ada ruangan masa, saya akan menulis di suratkhabar," kata Aznil yang pernah menulis novel 'Yo! It's me', 'Fifi' dan 'Si Lembik'.

Aznil yang juga merupakan kolumnis Paknil di sebuah akhbar harian tempatan pernah memenangi pelbagai anugerah sepanjang kariernya.

Antaranya, Best Talk Show (Anugerah Skrin 2007); Best Talk Show (Asian Television Award 2005) dan Best TV Host (Anugerah Sri Angkasa 2005) di samping Best TV Show (Anugerah Sri Angkasa 2004).

Selain projek buku kompilasi artis-artis tempatan dan luar negara itu, Aznil berkata, dia sedang dalam proses merombak konsep program 'Tom Tom Bak Astro' kelolaannya.

"Saya ingin menyuntik lebih warna-warni dan melahirkan semangat baru serta idea baru. Lagipun, kerana telah empat tahun ia dimainkan.. Jadi tiba masanya untuk bagi satu pembaharuan," kata Aznil.

Tambahnya, rombakan itu masih dalam perbincangan dengan penerbit sebelum musim baru ke udara pada hujung tahun.

Mengenai musim perayaan ini, Aznil telah memohon cuti dari 19 September hingga 5 Oktober ini. Para pendengar program radio stesen Era "Riuh Pagi Era" mungkin terasa 'kehilangan' suara Aznil yang menyerikan setiap pagi mereka.

Aznil secara rendah diri memberitahu, para pendengar barangkali sudah muak mendengar suaranya berkumandang di corong-corong radio.

"Saya nak bercuti di Pulau Pinang..dan duduk kat rumah aje. Saya tidak melancong ke mana-mana tahun ini kerana ancaman H1N1 masih wujud di dalam dan luar negara," katanya.

Baru-baru ini, album khas 'Drama Sebabak Raya' arahan Aznil yang menampilkan 10 buah sketsa istimewa bertemakan Hari Raya Aidilfitri dilancarkan.

Selain penyampai bersama "Riuh Pagi Era", Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad, sketsa-sketsa itu turut diserikan oleh penyampai-penyampai popular ERA seperti Ray, Adi, Burn dan Nana.

Ia juga menampilkan bintang-bintang popular tanahair seperti Ifa Raziah dan Mawi.

Aznil mendendangkan lagu raya 'Fajar Di Pagi Raya' serta lagu nyanyian bersama penyampai-penyampai ERA yang berjudul 'Suasana Hari Raya'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain