suria

Umie Aida beraya di rumah kekasihnya, Datuk 'K'

Kehadiran Umie Aida dan Erra Fazira menghangatkan sambutan orang ramai terhadap Juz Jumbo Suria FM. -foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Kehadiran Umie Aida dan Erra Fazira menghangatkan sambutan orang ramai terhadap Juz Jumbo Suria FM. -foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Kehadiran Umie Aida dan Erra Fazira menghangatkan sambutan orang ramai terhadap Juz Jumbo Suria FM. -foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

SAMBUTAN Hari Raya tahun ini agak istimewa buat aktres jelita, Umie Aida kerana beliau akan menyambut Hari Raya di rumah kekasihnya, Datuk K di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada hari kedua lebaran.

Menurut Umie, dia akan membawa bersama dua anak angkatnya, iaitu Mohd Daniel Firdaus, 16, serta Mohd Zulhilmy, 15 serta adiknya.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan berhari raya di rumahnya (Datuk K). Ahli-ahli keluarganya baik-baik belaka.

"Sudah beberapa kali mereka ajak saya pergi tapi tak dapat pergi.. Jadi pada Hari Raya ini, saya akan pergi ke situ berhari raya," kata Umie sambil tersenyum manis.

Aktres yang mencipta nama dengan lakonan mantapnya dalam drama 'Salam Taj Mahal', 'Surah Terakhir' dan 'Selamat Hari Jadi Su' ditemui semasa dia dan selebriti Erra Fazira menjayakan acara 'Istimewa Bersama Erra Fazira dan Umie Aida D' Gerai Juz Jumbo Suria FM dari 5.30p.m. hingga 6.30p.m. Ahad lalu.

Kehadiran kedua-dua selebriti tersebut di gerai Suria FM menyebabkan orang ramai mengemuruni gerai itu sama ada untuk membeli air minuman, kuih samprit atau kuih tart nenas atau bergambar dengan Erra mahupun Umie.

Umie tidak kekok melayan para pelanggan kerana katanya, dia sudah biasa berniaga.

"Saya pernah menjalankan bisnes perniagaan restoran, kafe selain membantu abang saya menjual popiah. Saya sebenarnya seronok datang ke sini.

"Perbezaannya cuma di gerai bazar Ramadan, saya dan Erra dikerumuni para pelanggan. Tapi semua ini adalah pengalaman menarik bagi saya," kata Umie, 36.

Mengenai lawatannya ke rumah Datuk K nanti pula, Umie berkata, "Ini merupakan kali kedua saya pergi ke rumahnya tetapi kali pertama berhari raya di situ."

Bila ditanya bila tarikh pertunangannya dengan Datuk K, Umie secara berhemah berkata: "Tengah dalam proses persiapan".

Mungkinkah pertunangan itu berlangsung selepas Hari Raya, sekali lagi Umie tidak menolak ramalan tersebut.

"Saya benar-benar tidak tahu. Apa yang pasti saya akan memaklumkan kepada media apabila sampai masanya," kata Umie yang masih berteka teki tentang tarikh pertunangannya dengan Datuk K.

Umie sebelum ini memberikan bayangan dia mahu majlis pertunangan yang ringkas dengan lelaki idamannya yang lebih mesra dipanggil 'Abang K'.

Datuk K menurut Umie, adalah lelaki berkulit cerah, berwajah Cina dan sudah 15 tahun menduda serta mempunyai dua orang anak lelaki.

Pada 17 Mei lalu, majlis merisik antara Umie dan Datuk K - seorang tokoh perniagaan - telah diadakan dan ia dihadiri kaum keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, Umie adalah antara calon yang disebut-sebut memegang watak Natrah dalam teater 'Natrah' arahan kakaknya, Erma Fatima yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 17 November hingga 25 November ini.

"Saya tidak boleh cakap mengenai perkara itu. Biar IB yang umumkannya," kata Umie yang turut dicalonkan bersama nama-nama lain termasuk pelakon Diana Danielle dan Remy Ishak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain