suria

Siti sunyi bila suami tiada di sisi

Siti ketika rakaman program raya, 'Lentera Aidilfitri Datuk Siti' di Astro, Bukit Jalil semalam. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Siti ketika rakaman program raya, 'Lentera Aidilfitri Datuk Siti' di Astro, Bukit Jalil semalam. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Siti ketika rakaman program raya, 'Lentera Aidilfitri Datuk Siti' di Astro, Bukit Jalil semalam. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG

KETIADAAN Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa di sisi pastinya dirasai oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza lantaran dia akui tidak boleh berpisah dengan suaminya itu.

Baru-baru ini, Siti mengaku berasa sunyi apabila ditinggalkan dalam masa empat hari sahaja kerana suaminya yang mesra disapa Datuk K itu pergi menunaikan umrah.

Mujurlah jadual aktiviti seni Siti agak padat yang membolehkan dia melupakan sementara daripada memikirkan rasa rindu terhadap suami tercinta.

Bagi Siti, pergilah ke mana-mana pun, dia pasti mahukan suaminya sentiasa berada di sisi melainkan jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan seperti tidak dapat mengikut suami dan anaknya, Asyraf mengerjakan umrah.

Menurut Siti, dia tidak dapat menyertainya kerana terikat dengan majlis makan malam Jusco pada 6 Ogos lalu.

“Alhamdulillah, suami pun dah balik ke sini selepas mengerjakan umrah selama empat hari.

“Sepanjang bulan ini saya terlalu sibuk jadi sebab itu saya tak boleh ikut.

“Tapi bila masa nak tidur tu sudah tentulah saya rasa sunyi..,” kata Siti ketika menjayakan rakaman program ‘Lentera Aidilfitri Datuk Siti’ untuk disiarkan pada Hari Raya Puasa yang kedua nanti di saluran Astro Ria.

Walaupun begitu, Siti tetap berasa bersyukur kerana suaminya ke sana untuk mengerjakan ibadah.

Tambahan lagi, penyanyi nombor satu Malaysia ini bukanlah pertama kali ditinggalkan suami.

“Sebelum ini, saya pernah juga ditinggalkan Datuk semasa dia ke China selama tiga hingga empat hari atas urusan bisnes. Paling lama pun dia hanya tinggalkan saya dalam empat hari sahaja. Lebih dari itu tak pernah..

“Tapi saya bersyukur kerana suami pergi umrah baru-baru ini pun untuk mendoakan kebahagiaan dan murahkan rezeki kami berdua.

“Semoga Allah memberkati doa itu,” ujar Siti yang disahkan mendapat 7 per 88 bahagian harta peninggalan arwah bapanya, Tarudin Ismail oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dua hari lalu.

Jelas Siti, dia juga bersyukur dan bersetuju dengan keputusan mahkamah itu.

“Saya dan adik-beradik tiada masalah dan menerima pembahagian harta itu dengan hati terbuka kerana sudah mengikut hukum faraid,” jawab Siti yang tidak mengetahui apakah harta arwah yang bakal diterimanya nanti.

Dalam pada itu, Siti juga sempat memberikan komen tentang pemergian vokalis kumpulan Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang telah meninggal dunia semalam.

Seperti rakan artis yang lain, Siti juga berkata dia bersimpati dan merasakan kehilangan Asri.

“Saya turut bersimpati dan rasa kehilangannya sebab saya senang apabila bekerjasama dengan arwah.

“Dia seorang yang baik hati, merendah diri dan tak pernah beza-bezakan penyanyi yang datang dari genre muzik yang lain.

“Dia sangat disenangi dan sungguh tinggi budi bahasanya,” luah Siti.

Kali terakhir Siti bertemu dengan Ustaz Asri semasa mereka sama-sama menjayakan Konsert Maulidur Rasul di Stadium Malawati, Shah Alam pada Februari lalu.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu Ustaz Asri telah kembali. Saya doakan semoga arwah ditempatkan bersama dengan orang-orang beriman..,” tutur Siti dalam nada tenang.

Selain pernah menjayakan konsert kerohanian, Siti juga dalam proses untuk membikin album ‘Tahajud Cinta’ yang memuatkan lagu-lagu kerohanian dan akan dilancarkan pada awal Ramadhan nanti.

Artikel Lain