suria

Sepanjang Jalan Kenangan bersama artis 3 negara di 'Konsert Extravaganza'

Endang S. Taurina masih lagi memiliki vokal yang mantap. - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Endang S. Taurina masih lagi memiliki vokal yang mantap. - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Endang S. Taurina masih lagi memiliki vokal yang mantap. - foto THE STAR oleh RICKY LAI

MENARIK dan menghiburkan. Begitulah kemeriahan yang tidak dapat disangkal apabila artis-artis veteran beraksi di dalam konsert nostalgia 'Extravaganza Semalam di Malaysia' yang berlangsung di KL Live Hall, Live Centre Jalan Sultan Ismail baru-baru ini.

Ternyata, kemantapan vokal dan kemerduan suara artis-artis veteran ini masih tiada tolok bandingnya biarpun ada di antara mereka yang telah lama tidak membuat persembahan nyanyian.

Suara buluh perindu atau 'Golden Voice' yang dimiliki mereka mungkin tiada tukar gantinya dengan artis-artis masa kini.

Konsert ini mengabungkan artis-artis dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang popular pada era 70 dan 80-an seperti Zaleha Hamid, Halil Chik, Datuk Malek Ridzuan, Othman Hamzah, Tommy J. Pisa, Endang S. Taurina, Ernie Djohan, Tetty kadi, Vivi Sumanti dan Ria Resty Fauzi.

Malah, konsert yang bermula pada jam 8.30 hingga ke 11 malam itu kelihatan seperti mengimbau kembali memori silam para penonton yang datang pada malam itu.

Biarpun KL Live Hall kurang penuh namun suasana kemeriahannya tetap ada.

Tepukan gemuruh dari para penonton menghidupkan lagi kemeriahan konsert pada malam itu dari awal hingga ke akhir konsert.

Kesemua artis pada malam itu masing-masing menyanyikan dua buah lagu dan persembahan dibahagikan kepada dua sesi.

Sesi pertama dalam konsert itu dilihat agak kurang 'panas' dan hanya dimeriahkan dengan tepukan gemuruh para penonton apabila melihat artis kesayangan mereka tampil ke pentas dan menyanyikan lagu-lagu hit yang pernah menjadi kesukaan mereka dari dahulu hingga kini.

Para penonton juga mungkin belum merasa bahang konsert pada malam itu kerana lebih pasif dengan hanya menyanyi di tempat duduk mereka sahaja.

Lagu-lagu yang dinyanyikan pada sesi pertama konsert itu ialah Rindu(Vivi Sumanti), Teluk Bayur(Ernie Djohan), Kelip-Kelip Kusangakan Api(Datuk Malek Ridzuan), Siapa Pernah Jatuh cinta(Tetty Kadi), Suratan(Tommy J. Pisa), Bintang Dilangit Jangan Dihitung(Endang S. Taurina), Joget Bunga Melati(Halil Chik), Cintaku Sedalam Lautan Atlantik(Ria Resty Fauzi), Kerana Pengalaman(Zaleha Hamid) dan Gadis Melayu(Othman Hamzah).

Sesi pertama konsert malam itu berhenti seketika pada pukul 9.30 malam sebelum diteruskan dengan sesi yang kedua.

Bermulanya sesi kedua konsert pada malam itu, bahang sebenar konsert ini telah mula dirasai. Jika pada sesi yang pertama, artis-artis yang membuat persembahan hanya berada di atas pentas namun pada sesi yang kedua mereka telah mula membuat gimik dengan menyanyi di bawah pentas dan menari bersama penonton-penonton.

Vivi Sumanti, Zaleha Hamid, Tommy J. Pisa dan Endang S. Taurina antara artis yang melakukan gimik tersebut dan menghidupkan lagi suasana konsert pada malam itu.

Ditambah pula dengan lawak jenaka dari Ernie Djohan, Datuk Malek Ridzuan dan Ria Resty Fauzi membuatkan semua hadirin yang hadir terhibur dan tidak berhenti ketawa melihat karenah mereka.

Lagu-lagu yang dinyanyikan pada sesi kedua konsert ini pula seperti Kau Selalu Dihatiku(Ernie Djohan), Sampai Disini(Datuk Malek Ridzuan), Sekadar Bertanya(Vivi Sumanti), Tarikan Nafas Yang Terakhir(Tetty Kadi), Pria Idaman(Zaleha Hamid), Sepatu Dari Kulit Rusa(Ria Resty Fauzi), Kemesraan(Halil Chik), Jangan Biarkan Aku Menangis(Tommy J. Pisa), Apa Yang Ku Cari(Endang S. Taurina) dan Tanjung Puteri(Othman Hamzah).

Penutup persembahan pada malam itu, kesemua artis bernyanyi bersama menyanyikan sebuah lagu 'Sepanjang Jalan Kenangan' yang dipopularkan oleh Tetty kadi. Lagu ini mempunyai nilai memorinya yang tinggi jika kita dapat memahami dan mendengarnya dengan penuh pengamatan.

Malah wajah kepuasan dan gembira dapat dilihat dari raut wajah para penonton yang hadir malah ketika sesi 'autograf' bersama artis juga para penonton berpusu-pusu hendak mendapatkan tandatangan artis kesayangan mereka itu.

Bagi Datuk Malek Ridzuan, dia merasa gembira dengan persembahan malam ini dan gembira dapat membuat persembahan bersama artis-artis dari Indonesia dan Singapura.

"Saya amat terharu sebenarnya sebab saya sudah lama tidak membuat persembahan. Kali terakhir saya buat persembahan 10 tahun lepas.

"Saya juga gembira, kerana diberi peluang untuk menyanyi dan bergabung bersama artis-artis serumpun pada konsert malam ini," kata Datuk malek Ridzuan yang sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan album terbarunya.

Ditanya mengapa hanya dia seorang sahaja artis dari Malaysia yang membuat persembahan pada malam itu, penyanyi ini memberitahu kerana dia seorang sahaja artis dari Malaysia yang bernaung di bawah syarikat Life Record.

Penyanyi dari Indonesia, Endang S. Taurina yang masih lagi mantap vokalnya merasakan kepuasan dapat bernyanyi di Kuala Lumpur ditambah dengan sambutan yang baik dari penonton.

Menurut Tommy J. Pisa pula, dia begitu gembira dengan sambutan peminat dan merasakan lagu-lagu evergreen masih ada peminatnya.

"Saya merasa sangat-sangat gembira kerana masih ada lagi peminat lagu-lagu evergreen pada zaman sekarang ini. kata penyanyi ini.

Tommy juga sempat meninggalkan pesanan buat peminat-peminatnya di Malaysia agar lagu-lagu evergreen tidak mudah dilupakan.

Mungkin lebih memuaskan sekiranya konsert nostalgia seperti ini diadakan secara besar-besaran kerana kita tahu, masih ramai yang meminati lagu-lagu evergreen dan ini mungkin dapat membantu agar lagu-lagu ini tidak luput ditelan zaman.

Artikel Berikut

Artikel Lain