suria

Arwindran terpaksa sembahyang ikut teks demi 'Intan Yang Tercanai'

Ungku Intan Anis (lakonan Mardiana Alwi) memberikan minuman kepada Danial Sundaram (Arwindran Kalaivanan) semasa membawa kavadi. - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Ungku Intan Anis (lakonan Mardiana Alwi) memberikan minuman kepada Danial Sundaram (Arwindran Kalaivanan) semasa membawa kavadi. - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Ungku Intan Anis (lakonan Mardiana Alwi) memberikan minuman kepada Danial Sundaram (Arwindran Kalaivanan) semasa membawa kavadi. - foto THE STAR oleh RICKY LAI

UMUM mengetahui karya-karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan sudah sinonim dengan intipati metafora, bahasa puitis dan menguji minda dan tafsiran pembaca.

Apabila hasil pena beliau dipentaskan dalam teater, Noordin atau lebih dikenali sebagai 'Cikgu' menuntut pelakon-pelakon menjiwai `roh' atau karakter watak sebagaimana yang digarap dari perspektif kaca matanya.

Cuba tanya sesiapa pelakon teater karya Noordin tentang pembawaan watak-watak dalam karya Sasterawan Negara itu.

Pelakon utama lelaki teater 'Intan yang Tercanai' - karya terkini Cikgu, Arwindran a/l Kalaivanan, 23, misalnya pernah dititipkan nasihat oleh Sasterawan Negara untuk membawa watak Danial Sundaram dengan lebih baik.

Menurut Arwindran, Cikgu berpendapat Danial tidak perlu menitiskan air mata atas kehilangan sahabatnya, Ungku Intan Anis (lakonan Mardiana Alwi, 21) pada monolog awalnya dalam teater itu.

"Cikgu Noordin berpendapat watak Danial perlu 'strong' dan bukan merupakan pengemis yang menangis. Katanya, Danial perlu menggambarkan seolah-olah kehilangan Intan tidak dirasai.

"Ini jelas berlainan dengan intepretasi saya mengenai watak Danial pada peringkat permulaan. Saya ingat saya boleh menagih simpati dan mewujudkan suasana hiba dengan menangis," kata Arwindra.

Pelakon muda berbakat besar ini ditemui selepas pratonton Teater Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) "Intan yang Tercanai" di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur.

Menurut Arwindra, teater 'Intan yang Tercanai' adalah teater kedua yang dilakonkannya selepas teater 'Topeng-topeng' arahan Fauziah Nawi di bawah produksi, "Stefani" pada tahun lalu.

"Walaupun pengalaman saya dalam teater adalah sedikit, saya bersyukur Cikgu Noordin dan pengarah memperbetulkan cara lakonannya," katanya.

Bekas pelajar Segi College dalam bidang pengajian reka bentuk dalaman in menagih tunjuk ajar dan bimbingan pakar-pakar teater seperti A. Wahab Hamzah kerana dia sedar jauhari juga yang mengenal manikam.

Selain merujuk kepada Cikgu Noordin dan Wahab, Arwindra juga membuat penyelidikan tentang keindahan agama Islam agar dia dapat menjiwai watak Danial dengan berkesan.

Kata Arwindra, tanpa bimbingan mereka, dia terikut-ikut dengan skrip teater.

"Misalnya, saya bersembahyang ikut teks ketika ingin mencari-cari Yang Esa. Dalam satu babak, saya 'menangis dalam senyum dan menggeleng kepala' seperti yang diwar-warkan dalam skrip."

"Hakikatnya, saya perlu belajar berjalan dengan tongkat, bercakap serta bersikap seperti Danial dalam teater 'Intan yang Tercanai'," katanya yang beragama Hindu dan hobinya adalah berlakon dalam teater.

Mendukung prinsip 'belakang parang diasah lagikan tajam', Arwindra yang baru setahun jagung berkecimpung dalam dunia teater berharap latihannya selama sebulan membuahkan hasil.

"'Jika mustahil pada tersurat, carilah pula apa tersirat (tema)' dalam teater Intan yang Tercanai, karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan yang bakal berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP dari 8 hingga 12 Julai ini jam 8.30 malam," kata Arwindra.

Sinopsis 'Intan Yang Tercanai'

Intan Yang Tercanai adalah karya terkini Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan. Drama ini mengangkat keperibadian seorang wanita unggul bernama Ungku Intan Anis.

Dia bersahabat dengan Danial Sundaram sejak di bangku sekolah lagi dan terus akrab semasa di luar negara. Danial yang pernah belajar perbandingan dan psikologi agama di universiti sedang dalam pencarian kefahaman agama sebenarnya.

Keperibadian Ungku Anis yang luar biasa hingga sanggup datang bersama kawan-kawannya pada hari Danial menanggung kavadi menyentuh dan mengharukan Danial.

Bukan itu sahaja, Ungku Anis juga terlibat dalam kerja-kerja sosial, membantu orang miskin di kampung malah hingga sanggup bersama-sama misi Kristian membantu orang di Guatemala dan negara-negara Afrika.

Dalam usia muda Ungku Anis ke Mekah, Ungku Anis telah hilang dalam peristiwa Terowong Al-Mu’aysam yang menngorbankan 1,426 jemaah haji.

Sama ada dia terkorban, tiada siapa yang tahu kerana Ungku Anis tidak pernah ditemui selepas itu. Drama arahan pengarah A. Wahab Hamzah ini mengupas isu kemanusiaan dengan halus dan dengan lapisan makna yang perlu ditafsirkan.

Drama ini juga mengangkat nilai dan sifat kemanusiaan ketika musibah menguji mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain