suria

Tomok kekalkan nama glamor - bawa rezeki

TOMOK atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail memasang impian untuk memenangi Anugerah Industri Muzik tahun depan.

"AIM itu adalah satu anugerah berprestij dalam industri hiburan. Insya-Allah," katanya ketika diminta mengulas sama ada dia turut ingin menerima anugerah itu suatu hari nanti.

Sabtu lalu (2 Mei), penyanyi berasal dari Kuala Lumpur selaku One In A Million (OIAM) diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah kepada Aizat yang memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).

ALBUM SOLO

Untuk mencapai impian tersebut, Tomok menyandarkan harapannya pada album solo yang bakal dikeluarkan.

"Tomok akan lebih fokus album solo yang berkonsep pop rock terlebih dahulu. Saya akan bekerja dengan Aubrey Suwito... yakin akan ubah cara membuat persembahan.

"Selain itu, saya juga mendapatkan khidmat nasihat Ning Baizura sebagai mentor (vokal) dan banyak lagi, Insya-Allah," katanya pada sidang akhbar selepas menjuarai OIAM Sabtu lalu.

Tomok meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi sebanyak 39.3 peratus disusuli Esther (33.29 peratus) dan Aweera (27.41 peratus).

Tambahnya, dia ingin membuka studio dengan sebahagian daripada habuan rezeki RM1 juta. Bagaimanapun, katanya, dia akan tetap bersama-sama kumpulan New Boyz.

Hakikatnya, lagu terbaru Tomok, Rindu Terhenti yang dinyanyikannya pada malam kemenangannya telah mula berputar di corong-corong radio termasuk di laman Gua Music.com.

NAMA TOMOK MEMBAWA REZEKI

Ditanya sama ada dia akan menggunakan nama sebenarnya selepas ini, Tomok berkata, dia tidak akan menukar nama glamornya kerana ia membawa rezeki kepadanya selama ini.

"Nama Tomok diberikan famili sejak kecil lagi kerana saya berisi sewaktu kecil," katanya sambil ketawa.

Mengimbau perjalanan menuju ke puncak OIAM, Tomok berkata: "Kalau nak lihat perjalanan agak susah, banyak rintangan daripada sesi uji bakat sehingga ... kritikan orang luar tidak percaya dan memberikan tekanan."

HARI JADI 17 MEI

Sesungguhnya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna untuk Tomok. Dia meraih gelaran juara OIAM pada Hari Buruh. Dua minggu kemudian, dia akan menyambut hari jadinya yang ke-21.

Tomok memberitahu, dia akan mengadakan kenduri doa selamat dengan menjemput ahli-ahli keluarga dan sahabat handai untuk menyambut hari jadinya.

Di samping itu, penyanyi berhati mulia dan suka merendahkan diri ini bercita-cita memberikan sumbangan amal kepada anak-anak yatim.

TIDAK LAGI MENGIGAU

Mengenai apakah yang amat didambakan selepas OIAM berakhir, Tomok berkata, pengalaman tinggal di kamar tidur semasa proses pembelajaran bersama-sama Rizu, Nine dan Aweera tidak boleh dijual beli.

"Terlalu banyak kenangan bersama dan saya sentiasa mengingati masa-masa bersama. Mereka misalnya berkata, Tomok mengigau sewaktu tidur," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain