suria

Bunkface, Pop Shuvit dan band indie meriahkan Konsert Lefthanded

Man Kidal (tengah) akan bermain gitar bersama dua gitaris lain dalam Konsert Lefthanded & Friends. -foto mStar
Man Kidal (tengah) akan bermain gitar bersama dua gitaris lain dalam Konsert Lefthanded & Friends. -foto mStar
Man Kidal (tengah) akan bermain gitar bersama dua gitaris lain dalam Konsert Lefthanded & Friends. -foto mStar

TARIKAN band indie yang semakin popular dalam industri seni sekarang membuatkan penganjur Win Archer (M) Sdn. Bhd. berminat mengajak mereka memeriahkan Konsert Lefthanded & Friends.

Antara 10 band indie yang akan membuat persembahan dalam konsert yang akan berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 30 Mei ini adalah Jump-P, The Federated, The Pilgrims, The Times, Pop Shuvit dan Bunkface.

Konsert bertemakan ‘Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan untuk Mercy Malaysia ini turut mempertaruhkan band rock baru iaitu Johan Rentak Juara, Rhythm Of Champions (RJROC) 2008, Aisunam.

Menurut vokalis Pop Shuvit, Moots, jika berpeluang, bandnya ingin menyampaikan dalam empat hingga lima buah lagu mereka seperti lagu baru, ‘Oh! Sizuka’, ‘Marabahaya’, ‘Jump’ dan ‘Old School Rocka’.

“Kami menjangkakan ‘a good show’ kerana di stadium mempunyai ‘crowd’ yang bagus lebih-lebih lagi peminat muzik indie dan rock.

“Kami akan membuat persembahan di waktu petang mengikut senioriti manakala band popular akan membuat persembahan mereka di waktu malam,” kata Moots.

Dalam pada itu, wakil Lefthanded iaitu gitaris Man Kidal memaklumkan band indie menunjukkan kemajuan kepada industri muzik tanahair.

"Selain memperjuangkan muzik rock lagenda Malaysia, kita juga mahu memberikan muzik indie yang segar dan unik kepada anak-anak remaja sekarang," katanya ketika sidang media di ibu kota.

Dia turut berkata bekas vokalis Lefthanded seperti Nash dan Ramli Sarip tidak dapat menyertai konsert itu sebaliknya akan diganti dengan penyanyi rock lagenda.

Mereka adalah Amy Search, Awie Wings, Joe Wings, Mus May, Hattan dan Shima.

“Kami mendapat tahu Nash dan Ramli Sarip tidak dapat menyertai konsert ini kerana mereka terikat dengan ‘show’ lain.

“Kami tiada masalah dengan Nash dan memang nak dia sertai kami sekali.

“Konsert ini akan terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi tengah hari yang melibatkan band indie, akan dimulai pukul 3 petang manakala kumpulan Lefthanded dan artis rock popular akan membuat persembahan pada sebelah malam.

“Konsert ini juga merupakan tribute untuk Lefthanded dan Allahyarham Samad,” ujarnya.

Tambah Man, penyanyi rock yang terpilih itu akan menyanyikan lagu Lefthanded seperti Seruan, Keadilan, Hidup dan Perjuangan, Alam dan Pencipta, Evolusi dan lagu-lagu hits lain.

“Mereka dianggarkan akan menyanyi dalam 18 buah lagu kami untuk perang Gaza dan Mercy dengan paparan visual di skrin putih.

“Saya, Rudy (Kristal) dan Joe akan bermain gitar bersama,” beritahunya mengenai konsert yang berkos dalam RM300,000 hingga RM400,000 itu.

Walaupun belum mempunyai penaja besar, mereka tetap akan melakukan konsert yang dirancang sejak bulan November tahun lalu.

Sementara itu, Nash ketika dihubungi pula berkata, dia sudah mendapat tahu tentang konsert tersebut sebelum ini daripada Yan Lefthanded.

“Tetapi saya tidak dapat turut serta kerana saya berada di Singapura pada 30 Mei lalu untuk menjayakan ‘show’ di sana,” katanya.

Ditanya adakah dia menjayakan show yang sama dengan Ramli Sarip?

“Saya belum tahu siapa yang akan terlibat dalam ‘show’ itu. Yang saya tahu, ia adalah ‘show’ korporat,” tambah Nash.

Komen penyanyi rock lain:

Hattan - “Saya memang rapat dengan Man Kidal dan Lefthanded. Kami sudah beberapa kali menjayakan ‘show’ bersama seperti di Planet Hollywood.

“Bukan senang saya hendak berkumpul semula dengan Lefthanded. Saya pasti konsert ini akan ‘happening’ kerana ia seperti ‘family gathering’.

“Saya akan menyanyikan dalam empat hingga lima buah lagu. Saya dah biasa menyanyikan lagu dari Lefthanded kerana kalau Nash tiada, saya dan Mus akan menggantikan tempatnya.”

Mus May - “Saya juga pernah ‘perform’ dengan Lefthanded di Hard Rock Cafe, Singapura dan RTM. Kami tidak kekok dan malu kerana saya sudah anggap mereka seperti abang dan ianya satu penghormatan buat saya.

“Saya teruja kerana konsert ini merupakan konsert besar dan terbaik untuk Lefthanded.”

Joe Wings - “Saya rasa konsert ini akan menjadi konsert yang tidak dapat dilupakan dan bersejarah. Saya harap ia akan berjaya.

“Saya dan Abang Man seperti abang dan adik. Kami akrab berbelas tahun. Sekarang, baru wujud kolaborasi seperti ini.

“Insya-Allah, ia satu permulaan yang baik kerana saya belum pernah bekerjasama dengan Lefthanded tetapi ada pengalaman dengan Abang Man.”

Saksikan Konsert Lefthanded & Friends di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 30 Mei ini, mulai pukul 3 petang hingga 11 malam. Tiket berharga RM48, RM68 dan RM88 boleh dibeli menerusi tiket acxess di talian 03-7711 5000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain