suria

Pengusaha filem berpeluang memohon pinjaman bank

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan meyakinkan pihak bank di seluruh negara bahawa produk perfileman boleh membawa pulangan lumayan jika ia diperkenalkan ke pasaran antarabangsa.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata filem Malaysia pasti berjaya ke peringkat antarabangsa dengan adanya sumber kewangan yang mencukupi.

"Andai kata, kita berjaya di arena antarabangsa, pastinya perniagaan dalam industri ini mampu memberi pulangan yang berlipat ganda," katanya kepada pemberita selepas Program Dialog@1 di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini semalam.

Beliau berkata kementerian masih mengkaji kaedah pengurusan pembikinan filem yang lebih cekap untuk dibincangkan dengan pihak bank agar kos pengeluaran dalam sesebuah filem dapat dikurangkan.

Katanya pinjaman daripada pihak bank adalah perlu kerana pinjaman yang di peruntukkan RM50 juta yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk membantu banyak pihak dalam industri perfileman Malaysia masih tidak mencukupi.

Sepanjang program yang berlangsung selama satu jam bermula 9.30 malam itu, Shafie banyak membincangkan tentang langkah kementerian untuk membawa pelakon dan pengarah filem Malaysia ke luar negara, iaitu dengan menyertai pertandingan yang dianjurkan di luar negara.

Menurutnya dengan melangkah ke luar negara tidak bermakna melupakan tradisi dan budaya negara sendiri tetapi untuk meningkatkan kemahiran dan memahami selera pasaran antarabangsa.

Beliau berkata industri ini adalah satu bidang perniagaan kreatif yang menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak bangsa sekaligus memberi sumbangan pendapatan kepada negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain