suria

Gelagat selebriti di dalam Bolos musim kedua

BAGI menyemarakkan lagi program-program bercorak permainan di Astro pada tahun 2009 ini, Astro bakal menyajikan program popular Bolos yang kini memasuki musim kedua dan akan terus bersiaran di Astro Ria pada setiap hari Ahad, jam 9.30 malam.

“Program bercorak permainan yang memasuki musim kedua ini juga bakal menyaksikan penampilan istimewa daripada selebriti-selebriti terkenal tanahair pada setiap minggu.

"Pelbagai gelagat dan aksi lucu dapat dilihat apabila para peserta cuba membolosi diri masing-masing menerusi dinding yang terdiri daripada pelbagai jenis bentuk, corak dan saiz lubang," ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan.

Terdapat dua kumpulan yang bakal berentap dalam setiap episod. Setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang ahli. Mereka akan diberi cabaran untuk membolosi setiap dinding yang telah disediakan untuk mengumpul markah.

Kumpulan yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan mara ke peringkat akhir iaitu Mega Bolos dan berpeluang untuk memenangi wang tunai bernilai RM1000 pada setiap minggu.

Jika keputusan adalah seri, salah seorang ahli daripada setiap kumpulan akan dipasangkan bersama untuk menentukan siapakah yang layak untuk mara ke pusingan Mega Bolos. Peserta yang dapat membolosi dinding tersebut akan diumumkan sebagai juara dan layak untuk beraksi dalam Mega Bolos.

Program 26 episod yang berdurasi selama 30 minit ini terbahagi kepada empat segmen. Dalam Segmen pertama, salah seorang ahli daripada setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang mempunyai lubang pelbagai bentuk.

Seratus markah akan diberikan jika mereka berjaya membolosi dinding tersebut manakala dalam segmen kedua pula dua orang ahli daripada setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang juga mempunyai lubang pelbagai bentuk berbeza dari segmen satu.

Tiga ratus markah akan diberikan jika mereka berjaya membolosi dinding tersebut. Dalam Segmen ketiga pula, kesemua ahli daripada setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang juga mempunyai lubang pelbagai bentuk dan berbeza dari segmen satu dan dua.

Jika kumpulan mereka berjaya membolosi dinding tersebut, 500 markah akan diberikan. Kemudian, kumpulan yang mengumpul markah tertinggi akan mara ke segmen terakhir iaitu Mega Bolos.

Dalam peringkat ini, salah seorang daripada ahli kumpulan akan dipilih untuk mewakili kumpulan mereka. Mata mereka akan ditutup dengan alatan pentas (props), sebagai contoh; dikehendaki berdiri dengan posisi membelakangkan dinding manakala dua orang ahli kumpulan yang selebihnya akan memberikan arahan bagi membimbing rakan mereka untuk membolosi dinding yang disediakan.

Jika berjaya, kumpulan tersebut akan memenangi wang tunai bernilai RM1000. Jika gagal, wang terbut akan dibahagikan sama rata kepada pihak lawan. Ini bermakna, setiap kumpulan akan membawa pulang wang tunai bernilai RM500.

Pemenang tempat kedua Raja Lawak Astro (musim pertama) Zizan telah diberi kepercayaan untuk memikul sebagai pengacara program ini buat kali kedua dan memperlihatkan cabaran kesemua peserta untuk menyempurnakan cabaran yang diberikan.

Nantikan gelagat para peserta dalam program yang mencuit hati ini yang akan bersiaran menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) pada setiap hari Ahad jam 9.30 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain