suria

Raja Lawak Musim Ketiga lebih berbisa?

Barisan peserta Raja Lawak musim Ketiga. Dua di antara mereka adalah wanita. Mungkinkah ada pelapis Nabil, Sharifah Shahira dan Enot?
Barisan peserta Raja Lawak musim Ketiga. Dua di antara mereka adalah wanita. Mungkinkah ada pelapis Nabil, Sharifah Shahira dan Enot?
Barisan peserta Raja Lawak musim Ketiga. Dua di antara mereka adalah wanita. Mungkinkah ada pelapis Nabil, Sharifah Shahira dan Enot?

PENCARIAN Raja Lawak musim baru akan bermula tidak lama lagi dengan episod pengenalan Al-Kisah Raja Lawak Astro pada 24 Disember 2008 ini pada jam 9.00 malam.

Musim ketiga rancangan ini bakal bersiaran di saluran rasminya, Astro Prima (saluran 105) bermula pada 24 Disember 2008 ini.

Dek kehebatan Juara Raja Lawak musim kedua, Nabil yang begitu menonjol, ia bagai memberi semangat baru untuk pihak Astro meneruskan lagi pencarian pelawak-pelawak di tanah air.

Penemuan Nabil juga disifatkan sebagai sebaris dengan pelawak lain yang kaliber meskipun baru berusia setahun jagung.

Ini diakui sendiri oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani di majlis pelancaran Raja Lawak Astro (musim ketiga) baru-baru ini.

"Negara telah menyaksikan kelahiran Raja Lawak Astro yang baru iaitu Nabil berjaya menyandang gelaran juara. Kita semua dapat melihat perkembangan dan kemajuan yang berlaku pada diri Nabil.

"Tidak keterlaluan jika dia diangkat sebaris dengan nama-nama pelawak terkenal berkaliber yang lain seperti Saiful Apek, Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau walaupun baru berusia setahun jagung di persada seni hiburan tanahair," jelas Nizam yang menggantikan Khairul Anwar Salleh yang kini dilantik sebagai Ketua Perniagaan bahagian Melayu Astro.

Justeru, kata Nizam, Astro terpanggil untuk meneruskan program ini di musim ketiga kerana percaya ada banyak lagi bakat-bakat komedi di luar sana yang perlu diber peluang dan digilap.

Ini terbukti apabila sessi ujibakat yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan yang hangat dan di luar jangkaan apabila menerima peningkatan penyertaan sebanyak purata 300%.

"Kami percaya peningkatan ini dapat menyumbang kepada usaha kami dalam mengangkat hiburan komedi ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mewarnai lagi industri hiburan tanahair dengan program-program berkualiti tinggi.

"Setelah dua musim bersiaran, kami yakin Raja Lawak Astro berjaya menambat hati para penonton terutamanya di saluran Astro Prima apabila pada tahun ini juga berjaya menarik banyak penyertaan termasuklah penyertaan dari kaum wanita," jelas beliau.

Ini terbukti apabila dua orang peserta wanita berjaya terpilih ke peringkat akhir. Jika bakat komedi mereka benar-benar terserlah, tidak keterlaluan jika kita ramalkan mereka juga layak berdiri setanding dengan pelawak-pelawak wanita terkenal seperti Enot, Sharifah Shahira dan lain-lain.

Pada musim yang kedua juga, Raja Lawak Astro berjaya meraih jumlah 1.1 juta penonton pada setiap minggu. Prestasi yang membanggakan ini merupakan salah satu testimoni utama kami bagi meneruskan program Raja Lawak ke musim ketiga, jelas Nizam lagi.

Sebagai bukti sokongan Astro terhadap pembangunan seni tanahair dan meneruskan lagi kegemilangan serta tradisinya dalam berkongsi platform untuk menonjolkan bakat yang terpendam, program Raja Lawak Astro yang telah membuka peluang kepada peserta individu mahupun berkumpulan bagi mencuba nasib menerima sambutan yang menggalakkan termasuk penyertaan dari peserta wanita.

Senarai 12 finalis yang akan bertanding dalam musim ketiga ini ialah: Adam bin Abdul Karim Zamri, Aman Shah bin Asri, Mohammad Amirullah bin Azmi, Hazmeer bin Hassan (Amer) & Muhd Shaiful bin Bakri (Epul), Nuur Jihan binti Musa, Afzan Saffuan bin Ahmad Wasn Sharizon bin Rahim, Sutarmin bin Tukichan, Ahmad Faizlam bin Alam, Shamira bin Muhamad, Shamsir bin Mohd Shahar, Ahmad Faidz bin Ahmad Yusoff dan Rafizzan binti Yaacob.

Para finalis akan ditempatkan di sebuah akademi, apabila mereka akan diberi latihan dan bimbingan profesional oleh pengkritik jemputan pada setiap minggu untuk bersiap sedia mempersembahkan tugasan di hadapan penonton secara langsung.

Tiga orang pengkritik tetap untuk musim ini ialah pelawak dan pelakon terkenal; Zaibo, pelakon wanita yang berpengalaman; Fauziah Nawi dan pengacara serta pelawak terkenal; Shamsul Ghau Ghau.

Walau bagaimanapun, nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya dengan sistem pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan tersingir.

Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sessi ujibakat yang telah berlangsung di Kuantan, Ipoh, Johor Bahru dan Shah Alam melalui program Al-Kisah Raja Lawak Astro sebanyak tiga episod berurutan bermula pada pada 24 Disember 2008 (Rabu), jam 9.00 malam.

Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para finalis akan dirakam dan dimuatkan ke dalam program diari Ceritera Raja Lawak Astro pada setiap Rabu dan Khamis pada jam 9.00 malam.

Manakala persembahan para finalis pada setiap minggu boleh ditonton menerusi program Gelanggang Raja Lawak Astro yang bakal bersiaran secara langsung pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam dari studio rakaman, Studio 1, Astro. Program-program ini bakal bersiaran di saluran rasmi, Astro Prima (saluran 105).

Pemenang tempat kedua dan ketiga, Raja Lawak Astro (musim pertama) – Johan dan Zizan sekali lagi akan menggalas tugas bagi mengacarakan program ini buat kali kedua dan memperlihatkan cabaran kesemua peserta dalam merebut gelaran Raja Lawak Astro.

Celoteh dan gelagat komedi mereka yang bersahaja berjaya menawan hati para penonton untuk terus menonton Raja Lawak Astro pada setiap minggu.

Artikel Lain