suria

Lee Min Jung pernah menangis di awal perkahwinan, tabiat makan suami jadi punca

Min Jung dedah suaminya makan dengan sangat pantas.

PELAKON Lee Min Jung mendedahkan dia pernah menangis pada awal perkahwinannya bersama aktor Lee Byung Hun disebabkan tabiat suaminya yang suka makan terlalu pantas.

Menurut Min Jung, 44, kejadian itu berlaku ketika mereka masih bergelar pengantin baharu dan dia berusaha menyediakan hidangan dengan penuh kasih sayang buat suaminya.

“Waktu awal perkahwinan, saya benar-benar mahu menyediakan hidangan dengan penuh perhatian. 

Min Jung berkongsi tabiat makan suami ketika muncul sebagai tetamu dalam rancangan Please Take Care of My Refrigerator.

"Tetapi sebelum saya sempat habiskan menghidang sup, dia sudah selesai makan,” katanya.

Pendedahan tersebut dibuat ketika Min Jung tampil sebagai tetamu bersama pelakon Yoo Ji Tae dalam rancangan JTBC Please Take Care of My Refrigerator yang disiarkan pada Ahad.

Berkongsi lanjut, Min Jung berkata suaminya hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menghabiskan makanan tanpa menunggunya menikmati hidangan bersama.

“Saya rasa sangat terluka kerana saya langsung belum sempat menjamah makanan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lee Min Jung Tertekan Kisah Skandal Suami

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan Lee Byung Heon & Lee Min Jung Bermasalah Akibat Skandal

Tambah Min Jung, tabiat tersebut terbentuk kerana Byung Hun sudah hampir 30 tahun bekerja di set penggambaran, sekali gus menjadikan dia terbiasa makan dan bersiap dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, Min Jung bersyukur kerana tabiat suaminya itu kini semakin berubah.

“Sekarang masa makannya jadi sedikit lama, hampir 10 minit. Dia akan tunggu sup sambil menggoyangkan kaki.

"Bila sup sampai, dia makan perlahan-lahan sambil masih menggoyangkan kaki, menunggu sehingga saya duduk,” ujarnya.

Min Jung dan suaminya sudah 13 tahun berkahwin.

Min Jung turut mengakui dia juga perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Saya pun makan lebih cepat sekarang, jadi kami boleh sama-sama habiskan makanan,” katanya berseloroh.

Untuk rekod, Min Jung dan Byung Hun mendirikan rumah tangga pada 10 Ogos 2013 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia