DJ Avicii meninggal dunia pada usia 28 tahun - Bintang Global | mStar

DJ Avicii meninggal dunia pada usia 28 tahun

Avicii meninggal dunia pada usia 28 tahun.

BERITA pemergian produser muzik dan disc jockey (DJ) terkenal iaitu Avicii mengejutkan para peminat muzik rancak atau EDM (electronic dance music).

Menurut kenyataan daripada wakil publisiti, Ebba Lindqvist, Avicii menghembuskan nafas terakhir pada usia 28 tahun di Muscat, Oman.

"Dengan rasa dukacita kami mengumumkan pemergian Tim Bergling yang juga dikenali sebagai Avicii.

"Seluruh keluarganya berkabung dengan berita sedih ini dan kami memohon kepada semua untuk menghormati dengan memberi ruang kepada mereka yang berada dalam detik sukar ini," jelasnya.

Para peminat muzik rancak terkejut dengan berita pemergian DJ Avicii.

Tiada sebab kematian dinyatakan dan tiada kenyataan lanjut dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Beberapa bintang besar EDM dan artis terkemuka turut meluahkan rasa sedih selepas mendengar berita kehilangan artis muzik rancak terkenal itu dan memberikan penghormatan terakhir melalui akaun Twitter masing-masing.

Menerusi laporan The Billboard, sebelum ini, produser muzik EDM kelahiran Sweden itu mengumumkan persaraan daripada membuat jelajah muzik atas alasan kesihatan.

Keadaan kesihatan Avicii diketahui umum sejak beberapa tahun lepas setelah dia mengalami pankreatitis, yang sebahagiannya dipercayai berpunca daripada tabiat mengambil minuman keras secara tidak terkawal.

Antara selebriti terkenal yang meluahkan rasa sedih.

Pada 2014, Avicii membatalkan kesemua jelajah persembahannya bagi menjalani proses pemulihan selepas pembedahan mengeluarkan pundi hempedu dan apendiksnya.

Dia kemudiannya mengumumkan untuk kembali ke studio dan melancarkan extend play atau EP untuk enam lagu berjudul Avīci (01) pada Ogos 2017.

Bintang EDM Eropah yang terkenal dengan hits seperti Wake Me Up dan Hey Brother itu pernah merangkul beberapa anugerah seperti American Music Awards, Billboard Music Awards and MTV Europe Music Awards.

Avicii

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain