suria

Kejayaan adik buat rider nekad ulang SPM, impi kerja bidang ‘oil and gas’! Rupanya dah 4 kali daftar jadi calon ulangan

Khairul melakukan persediaan sejak Julai sebelum mengambil semula kertas SPM bagi subjek Sejarah dan Bahasa Melayu.

DEMI masa depan yang lebih baik dan terjamin, pemuda ini nekad untuk menduduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), meskipun usianya kini mencecah 24 tahun.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Khairul Iman Jeffri berkata, dia mengambil semula peperiksaan bagi dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah di sebuah sekolah menengah di Sepang, Selangor, baru-baru ini. 

Apa yang mengkagumkan, pemuda yang bekerja sebagai penghantar makanan ini sudah empat kali mendaftar sebagai calon SPM Ulangan. 

Khairul mengambil semula peperiksaan bagi dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah di sebuah sekolah menengah di Sepang.

"Sebelum ni saya ada repeat semua paper, family yang suruh. Masa tu saya tengah ikuti kursus scaffolding (perancah binaan)... setahun selepas SPM sebenar. 

"Kali kedua, setahun kemudian tapi tak duduki pun... hanya daftar. Kali ketiga pada 2024 pun tak duduki juga. Dah daftar dan bayar, tapi tak bersedia.

"Tahun ni baru ambil balik tapi ambil dua subjek saja. Saya mula ulangkaji sejak bulan Julai, boleh kata all-out juga. Saya mengharapkan keputusan nanti menggembirakan," ujarnya yang bekerja di Kajang.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedang bertugas hantar makanan, rider ini viral sebab dalam kepalanya tetap ingat belajar - “Tahu dia rakam, tapi malas nak layan sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: Doa ‘rider’ nak sambung belajar termakbul, syukur boleh masuk universiti... Paling menarik dapat biasiswa penuh!

Senang disapa sebagai Khairul, pemuda ini berkata dia terpanggil untuk mengambil semula peperiksaan SPM kerana mahu memperbaiki diri lebih-lebih lagi selepas melihat kejayaan salah seorang adiknya.

"Adik saya dapat masuk askar, jadi itu trigger saya untuk meraih pencapaian sama. Lagipun masa minta kerja sebelum ini, saya berdepan kesukaran sebab rata-ratanya minta sijil SPM.

  • Khairul tekad mengulangi peperiksaan SPM pada usia 24 tahun demi masa depan lebih baik.

  • Dia mengambil semula dua subjek, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

  • Ini merupakan kali keempat dia mendaftar sebagai calon SPM Ulangan.

  • Kejayaan adiknya serta dorongan ayah menjadi pencetus semangat dirinya memperbaiki pencapaian.

  • Perkongsiannya menjadi tular dan dia menasihatkan generasi muda agar mementingkan pelajaran.

"Ayah pun sangat galakkan kalau saya dapat ikut jejak langkah adik. Disebabkan situasi itu, saya terjentik untuk ambil semula dua subjek tersebut.

"Memang gementar masa masuk dewan peperiksaan tapi syukur semuanya berjalan lancar," ujarnya yang bercita-cita mahu bekerja dalam bidang minyak dan gas (oil & gas). 

Netizen memberi kata-kata semangat buat Khairul.

Sekadar membuat perkongsian di laman sosial, Khairul berkata dia sama sekali tidak menyangka hantarannya menjadi tular malah mendapat pujian warga maya. 

"Saya terharu dan ucapkan terima kasih pada netizen yang mendoakan saya. 

"Untuk adik-adik, mesej yang boleh saya sampaikan... belajarlah rajin-rajin. Semua tempat perlukan SPM. Selagi ada masa, manfaatkan untuk kejar ilmu demi cita-cita," akhirinya. 

Artikel Lain