TIADA rumah tangga yang tidak diuji, lebih-lebih lagi dalam soal kewangan dan penat lelah menguruskan keluarga.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas dihina suami sendiri hanya kerana tidak bekerja dan tiada pendapatan sendiri.
Dalam luahan dibuat di Facebook, dia merasakan segala usaha dan pengorbanan selama 10 tahun bergelar isteri serta ibu seolah-olah tidak dihargai.
"Saya minta duit nak beli barang dapur sebab banyak dah habis. Dia bagi kad kredit dan cakap belilah nak beli apa pun.

Suami isteri perlu berbincang secara berhemah untuk menyelesaikan masalah. -Gambar hiasan AI
"Saya ajak dia sekali tapi katanya tak sempat sebab sibuk bekerja jadi dia suruh beli sendiri. Tapi lepas tu dia mengamuk.
"Dia siap minta resit dan persoal kenapa habis sampai RM125. Kemudian dia tengok barang apa yang saya beli," ceritanya.
Suaminya memeriksa satu persatu barang yang dibeli walaupun wanita itu memberitahu kesemuanya adalah barangan dapur untuk keperluan seisi rumah.
Paling membuatkan pengadu tersentak apabila suaminya melontarkan kata-kata bahawa dia tidak membawa hasil dan hanya menghabiskan duit semata-mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah kongsi formula jimat duit barang dapur, hanya RM175 sebulan dah boleh makan sedap-sedap
ARTIKEL BERKAITAN: Tengok muka terus nak duit! Wanita anak sulung makan hati hadap perangai mak... Umur 60 tahun masih ligat main kutu, buat hutang
"Dalam hati saya terkilan sungguh. Dia je terpaling berkorban. Habis saya yang isteri ni langsung tak ada hasil ke?
"Selama ni saya tak pernah minta bukan-bukan di luar kemampuan dia. Saya cuba sesuaikan diri sebab tak nak dia rasa terbeban," katanya lagi.
Wanita itu menjelaskan, sebelum ini dia pernah bekerja dan sebahagian besar gajinya ketika itu juga digunakan untuk menampung keluarga.
Dia kemudian berhenti kerja untuk menjaga ibu mentua yang sakit serta menguruskan anak-anak, rumah dan hal sekolah yang dianggap satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab besar.
- Isteri terkilan suami pertikai belanja dapur RM125.
- Rasa pengorbanan 10 tahun tidak dihargai.
- Pernah bekerja dan bantu kewangan keluarga.
- Usaha berjimat termasuk tanam sayur untuk isi rumah 8 orang.
- Akhirnya pilih reda dan mahu bekerja semula.
"Macam ni ke perasaan apabila suami mengungkit. Saya kecewa bercampur penat tak cukup rehat dan burn out. Sepatutnya dia bersyukur saya dah jaga ibunya yang sakit dan anak-anak.
"Enam hingga tujuh kali saya ulang-alik ambil anak-anak sekolah setiap hari. Boleh kata semua kerja di rumah tu saya yang buat. Zaman sekarang ni barang mahal.
"Isi rumah lapan orang jadi saya dah cuba berjimat sedaya upaya. Sampaikan saya tanam sayur untuk jimatkan belanja suami. Tapi langsung dia tak nampak usaha saya," jelasnya.
Walaupun hatinya masih berat dengan rasa kecewa, dia memilih untuk berdamai dengan takdir dan bercadang bekerja semula supaya mempunyai pendapatan sendiri.


