suria

Luluh hati ibu makanan harga RM6 untuk dua anak dibuang, pekerja anggap sisa - “Saya tak senang nak beli nasi tu”

Mahany sedih apabila rezeki dua anaknya dibuang oleh seorang pekerja kedai makan. -Gambar hiasan (kiri)

HATI ibu mana tidak tersentuh apabila rezeki makanan untuk anak dibuang begitu sahaja.

Begitulah yang berlaku kepada seorang suri rumah, Mahany, yang berkongsi kisah sedih dilaluinya sewaktu menjamu selera di sebuah kedai makan bersama dua anaknya.

Kisah duka itu berlaku ketika dia membeli sepinggan nasi berlauk ayam dengan harga RM6 dan dibahagi dua untuk dikongsi makan bersama anak-anaknya.

Mahany menangis menceritakan kejadian itu.

"Masa tengah makan, anak nak pergi tandas... tapi dia baru makan sikit. Dah pesan dekat makcik (pekerja kedai makan) tu, jangan buang nasi saya ye... saya nak makan lagi sebab anak tak makan lagi. 

"Dah siap pergi tandas, saya pergi meja tu semula... nasi tu sudah tak ada. Ayam dan nasi pun banyak lagi. Boleh hadap makan dua orang. Ya Allah makcik... kenapa buang?

"Saya tak senang makcik nak beli nasi tu. Makcik tu hanya tengok je. Saya malas nak menangis dekat situ, nanti siapa nak pujuk," ceritanya dalam video tersebut.

Hantaran itu meraih lebih 600,000 jumlah tontonan selepas dikongsikan di TikTok dan rata-rata warga maya bersimpati dengan nasib wanita ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bawa balik sisa makanan kedai makan, ibu gembira nampak kambing salai masak lemak... Ada kata jijik, yang penting tak bazir

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati nasib tukang kutip sampah, pemuda ajar cara buang sisa makanan berkuah... Jangan terus simbah!

Mahany kemudiannya memuat naik satu lagi video menjelaskan secara lebih terperinci mengenai situasi yang berlaku sehingga menyebabkan dia menangis.

"Walaupun makanan tu harga RM6, tapi itu rezeki kita. Saya baru makan dalam tiga suap je masa dua orang anak saya tu nak pergi tandas. 

"Saya sebagai ibu tak sedap hati jadi makan laju-laju dan tinggal la meja dan ikut pergi tandas. Saya pesan sebab ayam tu besar, rezeki tu nak bagi kenyang anak makan. 

"Selepas saya keluar tandas, kami anak beranak tengok makcik tu sudah lap meja. Air minuman je dia tak angkat lagi," ujarnya.

Lepas ni dah tak boleh makan dekat luar, kena bungkus makan dekat rumah.

MAHANY

Katanya, ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku kerana pekerja kedai makan sama pernah membuang air minumannya sewaktu dia pergi membasuh tangan.

"Sebelum tinggal tu saya dah 'tanda' dengan tinggalkan beg sekolah nak beritahu dekat meja tu ada orang lagi. Bila tanya kenapa buang nasi, dia cakap lah ingatkan tinggal air je.

"Air Milo dua cawan, air teh tiga cawan dengan jumlah harga RM3. Saya tak minta ganti sebab makcik tu pun buat muka blur masa tanya," katanya yang terkilan dengan reaksi makcik berkenaan.

Mahany sekali lagi tampil memuat naik video penjelasan dalam hantaran kedua.

Meskipun kecewa, wanita ini memilih untuk memendam rasa dan enggan memperbesarkan isu untuk menjaga air muka pekerja yang sudah berusia.

Kejadian yang diceritakan ini membuatkan dia serik dan lebih berhati-hati untuk meninggalkan makanan yang belum habis dimakan tanpa ada sesiapa menunggu di meja.

"Saya ada suami yang kuat dan mampu beri makan cuma itu kemalasan saya sendiri nak makan dekat luar. Lepas ni dah tak boleh makan dekat luar, kena bungkus makan dekat rumah.

"Saya ni suri rumah jadi nak la 'healing' dengan anak-anak makan dekat kedai tapi sekali sudah kena macam ni, tak ke bengkak mata (menangis)," jelasnya lagi.

Artikel Lain