suria

“Lan masih belum mengetahui result SRP Rina” - Surat cinta pasangan bercinta sejak darjah 5 gamit nostalgia

Ramlan dan isterinya, Marina serta surat yang diutus (gambar kanan).

MENULIS surat cinta pernah menjadi cara yang sangat popular suatu ketika dulu untuk menunjukkan kasih sayang, meluahkan perasaan atau menyatakan rasa rindu kepada insan tersayang.

Zaman sekarang, surat cinta yang disimpan bertahun-tahun lamanya boleh menjadi amat bernilai dan satu kenangan berharga sama ada buat penulisnya atau si penerima.

Perunding takaful, Ramlan Mohd, 51, tidak menyangka dia menjumpai semula ratusan surat cinta yang dihantar kepada kekasih hati yang kini sah menjadi isterinya, Marina Ahmad selepas lebih 20 tahun.

Antara isi kandungan surat Ramlan yang dihantar kepada Marina.

Antara isi kandungan surat Ramlan yang dihantar kepada Marina.

Menariknya, surat itu tersimpan dalam keadaan baik di dalam dua kotak tanpa sebarang cacat cela kecuali kertasnya sedikit kekuningan dimamah usia.

"Kami nak pindah rumah di sekitar Alor Setar, jadi bila kemas terjumpa surat-surat ni. Masing-masing ketawa bila baca.

"Ia menggamit kenangan, kami berkenalan sejak dari darjah lima dan surat pertama juga ditulis pada tahun yang sama iaitu 1985," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Temui bilik rahsia, wanita terkejut ratusan surat cinta penuh kotak

ARTIKEL BERKAITAN: Surat cinta Puteri Diana kepada Dodi 21 tahun lalu dedah wanita itu temui cinta sejati sebelum kematiannya

Ramlan memaklumkan, dia dan isteri mula berkenalan ketika sama-sama menyertai kursus dan mereka berdua dari sekolah yang berlainan di Terengganu.

"Sejak itu kami saling berbalas surat dari zaman sekolah rendah kepada menengah hingga masuk ke universiti.

"Kami hanya berhenti menghantar surat selepas sah bergelar suami isteri pada 1999," katanya.

Lan masih belum mengetahui result SRP Rina..... Sebagai kawan/sahabat apa salahnya jika Rina memberitahu Lan.

KANDUNGAN SURAT

Jelasnya, dua kotak yang ada dalam simpanan mereka mengandungi surat-surat yang dihantar kepada isteri, manakala surat isteri kepadanya hanya tinggal satu kotak.

Ditanya, sama ada lima orang anak mereka sudah membaca surat-surat berkenaan, Ramlan berkata dia keberatan untuk membenarkan mereka membacanya.

"Biarlah menjadi rahsia kami suami isteri. Cukup sekadar yang saya kongsikan di Facebook itu untuk mereka baca," katanya.

Surat yang dihantar Ramlan ketika bergelar pelajar sekolah menengah.

Surat yang dihantar Ramlan ketika bergelar pelajar sekolah menengah.

Antara isi surat yang dikongsi Ramlan di Facebook adalah surat bertarikh 18 Januari 1990 ketika dia bergelar pelajar di Sekolah Menengah Sains Dungun.

Ramlan membahasakannya dirinya sebagai Lan, mnanakala Marina sebagai Rina.

"Bagaimanakah dengan azam Rina tahun ini? Adakah sama seperti tahun lepas ataupun telah tersemat satu azam baru di dada. Bagi Lan, cuma satu memperbaiki kesilapan lalu dan mempertingkatkannya.

"Lan masih belum mengetahui result SRP (Sijil Rendah Pelajaran) Rina baru-baru ini. Jadi rasanya sebagai kawan/sahabat apa salahnya jika Rina memberitahu Lan result itu," tulis Ramlan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain