suria

Terus baik demam... Pasangan sedondon baju Hello Kitty kembali bersatu, rujuk semula selepas 23 hari bercerai

Afina dan suami merujuk semula di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

SIAPA sangka lagu Ku Bahagia dendangan penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw membawa makna mendalam buat usahawan kosmetik, Yus Amina Mohd Zawizah pada Khamis apabila dia kembali rujuk dengan suaminya.

Perkara itu dapat 'dihidu' apabila lagu berkenaan dijadikan latar muzik bagi video yang dimuat naik di laman sosial, menunjukkan Yus Amina bersama suami, Mohd Afizi Mohd Nasir, 41.

Bagi yang tidak mengenalinya, dia merupakan usahawan kosmetik dikenali sebagai Kak Hello Kitty kerana memakai baju raya bertemakan kartun popular itu bersama keluarga setiap tahun sejak 2015.

Afina sekeluarga memakai busana raya bertemakan Aidilfitri setiap tahun sejak 2015.

Mesra disapa Afina, wanita itu turut berkongsi berita gembira itu kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi pasangan comel, sedondon Hello Kitty... Usahawan, suami sah bercerai

ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan nafi amalan pakai baju Hello Kitty punca penceraian, dah usaha selamatkan rumah tangga tapi gagal

Menurutnya, dia dan suami merujuk semula di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak di Batu Caves, Selangor pada tengah hari Rabu.

"Syukur Alhamdulillah, kami rujuk semula selepas 23 hari berpisah sejak 15 Mei lalu. Jodoh kami masih kuat.

"Saya gembira dan tentunya anak-anak yang paling seronok," katanya ketika dihubungi mStar.

mSTar Open House —SHAARI CHEMAT /THESTAR

Afina bersyukur dia dan suami rujuk semula. Foto SHAARI CHEMAT

Mengulas lanjut, Afina yang berasal dari Machang, Kelantan mengimbas kembali detik-detik sebelum dia dan suami kembali rujuk.

"Saya sebenarnya sudah dua hari tidak sihat sejak Isnin, jadi dia mahu datang ke rumah untuk hantar anak lelaki kami ke sekolah.

Betul la orang cakap tempoh idah adalah waktu bertenang dan rasa makin rindu apabila berjauhan.

YUS AMINA MOHD ZAWIZAH

USAHAWAN KOSMETIK

"Dia datang lebih kurang pukul 7 pagi nak datang ambil anak, selepas tu dia panggil nama penuh saya... Yus Amina Mohd Zawizah, kita rujuk hari ni.

"Saya terkejut tapi saya senyum je kerana memang saya mahu menyelamatkan rumah tangga kami. Sebenarnya saya semakin pulih dan apabila dia mahu rujuk, saya bertambah sihat," ujarnya berseloroh.

Afina sekeluarga turut memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran mStar pada 2023.

Sehubungan itu, Afina berharap agar rumah tangga yang dibina sejak 10 tahun lalu terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.

"Sebelum ni kami berpisah hanya kerana salah faham. Tapi masih ada rasa sayang, dia mahu rujuk pun sebab sayangkan saya.

"Betul la orang cakap tempoh idah adalah waktu bertenang dan rasa makin rindu apabila berjauhan. Doakan yang baik-baik buat kami sekeluarga," katanya ceria.

Terdahulu, mStar melaporkan rumah tangga yang dibina selama 10 tahun berakhir dengan perpisahan selepas Afina dan suami sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 15 Mei.

Hasil perkahwinan Afina bersama suami, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putri Jeliyta Ai Rich Mohd Afizi, 9, dan Putra Jamsyeir Ai Rich Mohd Afizi, 4.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain