suria

Bawa cucu makan tapi tak berduit, tauke kedai tengking datuk, nenek... Rupanya menantu sepatutnya datang bayar terbabit kemalangan

Sekeluarga ditengking oleh pemilik kedai makan. -Gambar hiasan

BENARLAH kata orang, 'kata-kata lebih tajam daripada mata pedang'.

Disebabkan beberapa baris ayat kasar yang terpacul keluar dari mulut seorang pemilik kedai makan, sebuah keluarga yang terdiri daripada datuk, nenek dan empat cucunya malu besar.

Keluarga tersebut ditengking kerana tidak dapat membayar makanan yang telah dimakan gara-gara menantu yang sepatutnya datang membuat pembayaran tidak muncul, malah tidak dapat dihubungi.

"Menantu saya tak dapat dihubungi, dia yang suruh makan dekat sini," kata pakcik tua itu cuba memberi penjelasan.

Pemilik restoran nampaknya enggan mendengar sebarang alasan dan terus mendesak supaya pembayaran dibuat.

"Itu hal awaklah, habis tu tak kan dah makan tak nak bayar pula, RM259 ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan sampai kenyang tapi tak nak bayar, pemilik restoran kongsi gambar 4 pelanggan di FB

ARTIKEL BERKAITAN: Makan sampai RM822 tapi tak nak bayar, 2 pelanggan akhirnya dimalukan dalam FB

"Kalau tak ada duit tak payahlah order makan macam-macam," balas pemilik kedai itu.

Ibarat 'drama', apa yang berlaku di antara mereka menjadi tontonan dan bahan borak pelanggan lain yang sedang makan di situ, termasuklah individu yang membuat perkongsian kisah ini di Facebook.

"Aku tengok pakcik tu punya muka macam malu betul.

"Tadi aku tengok masa makan, family dia happy sangat, aku terdengar anak dia tanya atuk dia, mana baba rindu nak jumpa baba." ujar pelayar itu di Facebook.

Lantas dia beranggapan mungkin si menantu yang mengaturkan mereka sekeluarga untuk makan di situ, namun mempunyai kekangan dan menyebabkan dia tiba lewat tiba untuk membuat pembayaran.

WhatsApp Image 2024-04-15 at 11.59.51 (2)

Setiap orang perlu bersabar dan cuba menahan diri daripada marah di depan rezeki. -Gambar hiasan

Tambahnya lagi, ketika tiba di kedai makan itu dia ternampak mereka sekeluarga datang menaiki sebuah van lama dan si cucu nampak gembira dapat makan di luar.

Mengimbas bagaimana pemilik restoran melayan mereka serta van yang dinaiki, dia tidak sanggup lagi melihat mereka berterusan dimalukan.

Dia yang mahu cepat pulang terus memanggil pemilik kedai dan membayarkan sekali makanan yang telah dimakan oleh keluarga berkenaan.

"Makcik, kira saya punya dulu. Saya nak cepat ni.

"Kira sekali dengan pakcik tu punya, tapi dengan syarat makcik minta maaf semula dengan dia dan cakap sahaja yang makcik belanja dia hari ini, boleh?" katanya.

Pemilik kedai itu mempersoalkan kewajaran tindakannya melakukan pembayaran bagi pihak keluarga itu, malah mahu menyembunyikan kebaikan yang dibuat.

WhatsApp Image 2024-04-15 at 12.01.44

Kata-kata hinaan boleh memberi kesan mendalam dalam diri seseorang. - Gambar hiasan

"Pakcik itu mungkin ada masalah keluarga, makcik tengking dia, dah la dimalukan depan orang ramai. Jadi saya nak makcik perbetulkan semula keadaan supaya maruah dia dikembalikan.

"Dalam masa yang sama saya nak kredibiliti makcik juga dikembalikan, sebab bila makcik tengking pelanggan itu, pelanggan yang lain akan mula anggap makcik ni tauke restoran yang tak baik.

"Nanti mereka cerita macam-macam pasal restoran makcik. Padahal saya tahu, makcik orang baik. Dah lama saya jadi pelanggan makcik, saya tak nak lah disebabkan benda macam ni reputasi makcik jatuh di mata yang lain," kongsinya lagi.

Penjelasan individu itu nyata telah membuka mata pemilik kedai tersebut, lalu dia memberikan senyuman yang lebar sambil bersalaman meminta maaf dengan keluarga berkenaan.

"Lepas tu aku tengok, pakcik tu bangun tergesa-gesa, semua pun bangun menuju ke van mereka dan gerak," ceritanya lagi.

Nanti mereka cerita macam-macam pasal restoran makcik. Padahal saya tahu, makcik orang baik.

PELANGGAN

Sebelum dia pulang, pemilik kedai tersebut mendekatinya untuk mengucapkan terima kasih tetapi dia hairan apabila duitnya dipulangkan.

"Adik, terima kasih sedarkan makcik, duit makanan keluarga tadi makcik nak pulangkan balik pada adik, biarlah makcik belanja mereka.

"Rupanya menantu dia kemalangan, sebab itulah dia tak angkat call. Kalaulah makcik terus marah-marah dia tadi, tak tahulah nak simpan perasaan bersalah ini macam mana.

"Ini duit RM280, makcik pulangkan semula dekat adik, biarlah makcik yang belanja keluarga tu dengan adik sekali," kata pemilik kedai itu.

Namun dia tetap menolak duit yang dipulangkan dan meminta ia disimpan bagi membayar makanan pelanggan yang datang makan tetapi tidak mampu untuk membuat pembayaran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain