suria

Demi bayar hutang ah long, sekeluarga ‘hilang’ kereta... Isteri anggap ada hikmah, suami berhenti merokok nak berjimat

Suami isteri perlu bijak merancang kewangan keluarga. -Gambar hiasan

SETIAP manusia pasti tidak akan terlepas daripada berdepan dengan ujian.

Namun begitu, semestinya ia hadir disertai dengan hikmah agar kita sentiasa bermuhasabah.

Demikian juga dengan kisah yang dikongsikan seorang wanita ini, yang pernah jatuh 'terduduk' gara-gara terjebak dengan hutang ah long.

Menurut wanita yang tidak mendedahkan identiti diri itu, dia dan suaminya sebelum ini terpaksa meminjam dengan 'lintah darat' untuk menampung kos perubatan anak mereka.

"Pinjam tak sampai RM300, bayar balik lebih RM5,000," kongsinya.

ah long 3

Segelintir individu mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman kepada ah long. -Gambar hiasan

Disebabkan kegagalan untuk mendapatkan wang bagi membayar balik pinjaman berkenaan, mereka akhirnya terpaksa menjual satu-satunya kereta yang ada.

"Anxiety waktu tu, Tuhan saja yang tahu. (Sekarang) dah masuk tahun ketiga tiada kereta," imbasnya lagi.

Bagaimanapun tambah wanita tersebut, dia bersyukur kerana kesilapan berkenaan benar-benar memberi pengajaran dan hikmah bermakna buat dirinya dan suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Staf ‘gomen’ hampir muflis, masa sihat rancak buat pinjaman peribadi RM430K... Kini cuti tanpa gaji sebab sakit, tak boleh bayar hutang

ARTIKEL BERKAITAN: Suami bakal muflis ibarat hilang segalanya! Bisnes rugi, aset ditarik... Paling sedih isteri pun menjauh

"Hikmah semua tu, kami makin reda dengan ketentuan Allah. Asbab musibah ini, suami dah stop merokok, duit-duit semua saya handle.

"Nak kata muflis tu tak juga tapi lebih kepada tiada harta, tiada kereta, tiada rumah sendiri, tiada emas. Sekarang duduk rumah sewa. Alhamdulillah.

"Suami bekerja dengan anggaran gaji bersih tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tolak advance, tolak hutang ansuran kenderaan motor, dapat anggaran bersih RM800," kongsinya lagi.

Semoga urusan puan dipermudahkan semuanya untuk mencari rezeki.

NETIZEN

Tidak hanya mengharapkan pendapatan suami, wanita berkenaan berkata dia kini berniaga kuih secara kecil-kecilan tambahan pula mereka mempunyai empat orang anak yang masih kecil.

"Saya sedang mengumpul modal untuk cari kereta murah bagi memudahkan tujuan saya berniaga. Saya juga berperancangan untuk meniaga makanan di hadapan rumah.

"Buat masa sekarang duit cukup-cukup untuk pendaftaran dan belian buku anak-anak.

posting ah long

Sebahagian posting wanita berkenaan di laman sosial.

"Kalau ada yang sudi support bisnes kuih-kuih saya amatlah saya hargai. Saya antara asnaf fakir dan permohonan bantuan tahun ni masih lagi dalam proses.

"Untuk raya memang kami dah lama tak beli baju. Alhamdulillah rezeki orang sedekah baju-baju terpakai. Janji anak-anak happy. Yang paling utama kami fokus untuk keperluan anak-anak," kongsinya lagi.

Perkongsian wanita berkenaan di sebuah laman di Facebook mengundang perhatian warga maya yang memberikan kata-kata semangat untuknya.

"Semoga urusan puan dipermudahkan semuanya untuk mencari rezeki.

"Cuba letak gambar dekat comment beserta harga, insyaAllah akan ada yang beli

"Moga ramai yang support bisnes puan," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain