suria

Boikot ikut musim, wanita naik angin pasangan muda nak masuk butik pakaian sokong Israel... Terus bagi jelingan tajam

Gerakan boikot memerlukan pendirian yang teguh untuk menjayakannya. -Gambar hiasan (kanan)

SUDAH menghampiri tiga bulan Palestin menjadi mangsa serangan kejam rejim Zionis yang bermula sejak awal Oktober lalu.

Sebagai tanda solidariti, gerakan boikot ke atas produk atau jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel dilancarkan oleh komuniti sejagat.

Namun sejak kebelakangan ini, dilihat semakin longgar cengkaman gerakan boikot berkenaan, berkemungkinan kerana kesedaran yang terhakis dengan berlalunya waktu.

Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas penduduk bumi Palestin.

Melalui satu video tular di TikTok, seorang wanita meluahkan rasa kesal selepas melihat seorang gadis Muslim tidak teragak-agak untuk singgah ke butik pakaian yang disahkan mempunyai kaitan dengan rejim Zionis.

Dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah itu, wanita tersebut tidak berani untuk menegur gadis terbabit secara terang-terangan tetapi sempat memberikan lirikan mata yang tajam kepadanya.

"Saya ketika itu tengah berjalan-jalan di mall, tiba-tiba seorang mamat ni cakap dekat teman wanita dia, awak nak pergi ke butik pakaian tu ke?

ARTIKEL BERKAITAN: Premis makanan naik notis henti jual minuman popular, ganti jenama tak sokong Israel... Ramai puji peniaga berani

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan OKU terjejas, staf sambilan hilang kerja... Ramai meratap sedih, terkesan gerakan boikot produk sokong Israel

"Dan teman wanita tu cakap ya, siap tanya lagi jalan macam mana nak pergi ke butik tu. Terkejut saya dengar. Saya terus jeling dia, entah dia perasan atau tidak.

"Kepada gadis itu, awak tak ikuti ke perkembangan terkini di berita atau media sosial, kawan awak pun mesti ada yang repost tentang jenama Israel ni. Jangan tipu saya cakap awak tak perasan benda-benda ni.

"Boikot ni bukan untuk sehari dua atau trend jangka masa pendek je, ia adalah selama-lamanya," ujar wanita tersebut geram.

Nampak banyak kedai yang seharusnya diboikot tapi dah penuh dengan orang-orang kita.

WARGA MAYA

Wanita itu seterusnya mengingatkan kembali tujuan utama gerakan boikot iaitu untuk memberikan tekanan kepada jenama yang berpotensi menyalurkan dana kepada Israel.

"Duit daripada pembelian kita tu boleh jadi keuntungan jenama berkenaan untuk dilaburkan kepada aktiviti ketenteraan Israel di Palestin.

"Saya nak je cakap dekat budak perempuan tu yang macam mat salih viral itu hari, you are going to hell! Tapi tak boleh la kan macam tu. Jadi saya nak gunakan platform saya ni untuk ingatkan semua supaya terus memboikot.

"Pergi la beli di kedai baju terpakai (thrift store) atau jenama produk tempatan, ada banyak je option. Berhati-hati ke mana duit kita dibelanjakan.

Sebahagian komen warga maya.

"Ada juga yang saya terbaca kata produk tempatan kurang selesa dan mahal, itu tidak sepatutnya menjadi alasan, kita sedang dalam perjuangan, dan kalau difikirkan, produk overseas tu jauh lagi mencekik darah," kata wanita itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menzahirkan rasa kecewa apabila melihat segelintir rakyat Malaysia tewas dalam mengekang hawa nafsu.

"Ada kawan saya ni cakap dia tak sabar nak pergi makan burger dekat sebuah restoran makanan segera ni, dia kata nak tunggu lagi dua hingga tiga bulan bagi musim boikot habis, Allahu macam tu pemikiran mereka rupanya.

"Betul, kalau pergi mall sekarang akan nampak banyak kedai yang seharusnya diboikot tapi dah penuh dengan orang-orang kita.

"Kawan-kawan saya pun ada yang macam ni juga, mereka ingat musim boikot dah habis, saya nak tegur tapi takut kena kecam dikatakan terpaling boikot," kata warga maya..

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain